♥♥♥ Follow me ♥♥♥

Wednesday, September 01, 2010

Hati mati. Tergolongkah kita?



1st
of all, mari tengok tengok tanda hati mati dulu.. disamping checklist serta muhasabah diri kita sendiri. Dalam hal ni tak perlu tengok orang lain. Tengok hati sendiri. Bagaimana agaknya hati kita setelah hampir sebulan kita di bulan barakah ini..




TANDA HATI KITA MATI


Menurut Syeikh Ibrahim Adham, antara sebab atau tanda-tanda hati mati ialah





  1. Mengaku kenal Allah swt, tetapi tidak menunaikan hak-hak-Nya




  1. Mengaku cinta kepada Rasulullah saw, tetapi mengabaikan sunnah baginda




  1. Membaca al-Quran, tetapi tidak beramal dengan hukum-hukum di dalamnya




  1. Memakan nikmat-nikmat Allah swt, tetapi tidak mensyukuri atas pemberian-Nya




  1. Mengaku syaitan itu musuh, tetapi tidak berjuang menentangnya




  1. Mengaku adanya nikmat syurga, tetapi tidak beramal untuk mendapatkannya




  1. Mengaku adanya siksa neraka, tetapi tidak berusaha untuk menjauhinya




  1. Mengaku kematian pasti tiba bagi setiap jiwa, tetapi masih tidak bersedia untuknya




  1. Menyibukkan diri membuka keaiban orang lain, tetapi lupa akan keaiban diri sendiri




  1. Menghantar dan menguburkan jenazah/mayat saudara se-Islam, tetapi tidak mengambil

pengajaran daripadanya


then, agaknya kenapa hati kita jadi mati? Sedangkan jasad kita belum pun mati. Hoho. Kadang-kadang penyakit hati mati ni common sangat. Ada yang sedar hatinya mati. Ada yang sedar ta[I buat tak kesah. Macam-macam laa.. meh kita tengok sebab pa hati kita ni mati..


Hati mati kerana tidak berfungsi mengikut perintah Allah iaitu tidak mengambil iktibar dan pengajaran daripada didikan dan ujian Allah.
Hati juga mati jika tidak diberikan makanan dan santapan rohani sewajarnya. Kalau tubuh badan boleh mati kerana tuannya tidak makan dan tidak minum, begitulah juga hati.

Apabila ia tidak diberikan santapan dan tidak diubati, ia bukan saja akan sakit dan buta, malah akan mati akhirnya.
Santapan rohani yang dimaksudkan itu ialah zikrullah dan muhasabah diri. Oleh itu, jaga dan peliharalah hati dengan sebaik-baiknya supaya tidak menjadi kotor, hitam, keras, sakit, buta dan mati. Gilap dan bersihkannya dengan cara banyak mengingati Allah ( berzikir ).

Firman Allah yang bermaksud :
" ( Iaitu ) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan 'zikrullah'. Ketahuilah dengan 'zikrullah' itu, tenang tenteramlah hati manusia. "
Q.S Ar-Ra'd : 28



Sucikanlah 4 hal dengan 4 perkara :
"Wajahmu dengan linangan air mata keinsafan,
Lidahmu basah dengan berzikir kepada Penciptamu,
Hatimu takut dan gementar kepada kehebatan Rabbmu,
..dan dosa-dosa yang silam di sulami dengan taubat kepada Zat yang Memiliki mu."






Kenapa hati? Dan bagaimana ZIKRULLAH mampu menghidupkan hati? Kadang-kadang, bila ada yang datang bertanya pada saya, (muslimat selalunya),


"Kak, saya tak boleh solat. Saya rasa kosong dan hati saya rasa…kosong sangat.."


Dan jawapan saya yang memang dah common sangat..


"Allah larang kita solat tapi DIA tak larang kita Zikir. Sebab DIA tahu Zikir mampu hidupkan hati kita. ZIkir mampu isi hati kita yang kosong. Maka, berzikirlah!"


Dan kebiasaannya jawapan saya tidak memenuhi kehendak yang bertanya. Mungkin dalam hati mereka kata,"klo stakat suro zikir, saya pun tahu kak husna ooi.."


Lalu,biarlah bicara ini merungkai persoalan kalian.. kenapa zikir untuk hati yang mati?


hati merupakan tempat yang lembut, rahmat, kasih sayang dan lain-lain. Apabila kita mengisi hati kita dengan banyak zikrullah, nescaya ia memenuhi rahmat dan kasih sayang.


Hati merupakan anggota yang menentukan segala permasalahan hidup. Jika ia dimakmurkan dengan keyakinan dan iman, sudah tentu segala anggota akan mengikut dengan penuh keimanan. Untuk kita melihat betapa kuat, kuasa dan luasnya hati dengan keimanan, Allah Taala menjelaskannya dalam Surah az-Zumar ayat 23 yang bermaksud:


Allah telah menurunkan perkataan yang paling baik iaitu al-Quran yang serupa (nilai ayat-ayatnya) lagi berulang-ulang, gementar kerananya kulit orang-orang yang takut kepada Tuhannya, kemudian menjadi tenang kulit dan hati mereka pada waktu mengingati


Allah. Itulah petunjuk Allah, dengan kitab itu Dia menunjukkan siapa yang yang dikehendaki-Nya. Dan sesiapa yang disesatkan Allah, maka tidak ada seorang pun pemberi petunjuk baginya.


Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya:


Ketahuilah bahawa pada jasad terdapat segumpal darah, apabila elok nescaya eloklah seluruh jasad dan apabila rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah bahawa itulah hati.


Kalaulah begitu, hati merupakan tempat cahaya keyakinan dan keimanan. Sebagaimana iman boleh bertapak dalam hati, begitu juga kekerasan dan kekufuran juga boleh bertapak dalam hati. Hati yang lupa untuk berzikrullah akan menjadi keras, kenapa? Ini kerana ia beriktikad bahawa tiada di sana kecuali kehidupan dunia sahaja dan maddi


(kebendaan).


Justeru, ia cuba mendapatkannya semampu mungkin dan dengan apa cara sekalipun sehingga melangkaui hak-hak dengan melakukan kezaliman, kerosakan dan mengambil hak mereka yang daif. Inilah puncanya.


kemudian sesudah itu, hati kamu juga menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. padahal di antara batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir air sungai daripadanya; dan ada pula di antaranya yang pecah-pecah terbelah lalu keluar mata air daripadanya; dan ada juga di antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada allah; sedangkan allah tidak sekali-kali lalai daripada apa yang kamu kerjakan. (surah al-baqarah ayat 74)


Firman Allah Taala: Kemudian sesudah itu, hati kamu juga menjadi keras sehingga kamu tidak dapat menerima sebarang peringatan dan tazkirah selepas melihat mukjizat yang nyata lagi terang.


Abu al-Laith meriwayatkan dengan sanadnya daripada Abu Darda' r.a. bahawa dia mendengar Salman al-Farisi r.a. mahu membeli seorang hamba sebagai khadam, lantas beliau menulis surat kepada Salman. Di antara isinya:


"Wahai saudaraku, gunakanlah masa hidupmu untuk kepentingan ibadat sebelum tiba bala yang menyebabkan kamu tidak dapat beribadat, dan gunakanlah kesempatanmu untuk mendapat berkat doa daripada orang yang menderita bala, dan rahmatilah anak yatim, usaplah kepalanya dan berikan makanan kepadanya supaya lembut hatimu dan terlaksana hajatmu.


"Wahai saudaraku, saya pernah menyaksikan ketika Nabi s.a.w. didatangi seseorang yang mengeluh kerana berasa keras hatinya, maka sabda Nabi s.a.w.: 'Adakah kamu mahu supaya hatimu menjadi lembut dan diperkenankan hajatmu?' Jawabnya: 'Ya.' Sabda Nabi s.a.w.: 'Rahmatilah anak yatim dan usaplah kepalanya, dan berikanlah makanan kepadanya, nescaya akan lembut hatimu dan tercapai hajatmu.'


"Saudaraku, jadikan masjid seperti rumahmu, kerana sesungguhnya saya telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: Masjid-masjid itu sebagai rumah orang-orang bertaqwa, dan Allah telah menjamin orang-orang yang menjadikan masjid itu seperti rumahnya dengan kelapangan hati, kesenangan, kepuasan serta mudah menyeberangi titian sirat dan selamat daripada api neraka dan segera menuju keredhaan Allah Taala."


Demikianlah iktibar yang dapat diambil daripada tulisan Abu Darda' kepada sahabatnya tentang betapa isu keras hati menjadi perkara utama dibahaskan oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat.


Seperti batu bahkan lebih keras lagi: Sebahagian hati sama seperti batu dan sebahagian yang lain lebih keras daripada batu seperti besi. Ini kerana di antara batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir air sungai daripadanya; yang begitu banyak air dan ada pula di antaranya yang pecah-pecah terbelah, lalu keluar mata air daripadanya; dan daripada batu yang pecah kerana takut kepada kebesaran Allah sehingga keluar air.


Syeikh an-Nasafi dalam tafsirnya, Madarik at-Tanzil, berkata: "Bahawa ia merupakan penerangan betapa kerasnya hati mereka berbanding batu. Kerana batu yang pejal tersebut boleh mengeluarkan air yang banyak, sedangkan hati akan menjadi gersang dan kering.


"Di samping itu, sebahagian batu gugur dari puncak gunung semata-mata kerana berasa takut dan gerun kepada Allah.


"Ia sentiasa mengikut fitrah Allah, sedangkan hati tidak tunduk dan patuh kepada segala yang diperintahkan."


Dan ada juga di antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah; ada yang jatuh dari gunung-ganang kerana takut kepada Allah, sedangkan kamu wahai Yahudi tidak memberi kesan dan tidak takut kepada Allah: Ia sebagaimana firman Allah Taala dalam Surah al-Hasyr ayat 21 yang bermaksud:


Kalau sekiranya Kami menurunkan al-Quran ini kepada sebuah gunung, pasti kamu akan melihatnya tunduk terpecah belah disebabkan takut kepada Allah. Dan perumpamaan-perumpamaan itu Kami buat untuk manusia supaya mereka berfikir.


Sedang Allah tidak sekali-kali lalai daripada apa yang kamu kerjakan. Dan pasti Allah membalasnya pada Hari Kiamat: Iaitu ingatlah bahawa Allah Taala tidak terlepas pandang sesuatu pun dan Maha Mengetahui atas setiap perbuatanmu dan pasti kamu bertemu dengan-Nya pada Hari Kiamat serta amat berhajat dengan segala rahmat dan keampunan-Nya.


Justeru, jangan sekali-kali menjadikan hatimu keras sehingga dibuang daripada mendapat rahmat Allah sebagaimana sunyi hatimu daripada zikrullah.


Sayid Qutub berkata: "Apabila hati mereka dibandingkan dengan batu, tiba-tiba hati mereka lebih kering dan lebih keras lagi daripada batu."


Batu yang dibandingkan dalam ayat ini ialah batu yang pernah diketahui mereka sebelum ini kerana mereka telah melihat batu yang mengalirkan dua belas mata air, dan mereka juga melihat batu-batu bukit bergegar apabila Allah bertajalli di bukit itu dan Musa a.s. rebah pengsan, tetapi hati mereka tidak juga lembut dan tidak juga melahirkan degup takut dan taqwa.


Hati mereka terus keras, pejal, kering dan kafir. Oleh sebab itulah al-Quran menyebut ancaman ini kepada mereka..


Cuba cek tengok. Di tahap mana agaknya hati kita??


Jika hati kita hampir mati, mungkin ia "starving" pada pengisian-pengisian yang mampu mengisi "hungry"nya hati kita.


Kadang-kadang, nak bukak puasa, kita beli makanan satu pun rasa tak cukup. Sebab? Lapar. Agaknya hati kita apa dia rasa? Tentu dia lebih lapar akan pengisian rohani untuk mengisi kekosongan hati.


Isilah hati. Jangan kau kotori. Jangan kau campuri hak dan bathil. Jangan kau takut mengaku kelemahan diri. Jangan takut muhasabah diri. Jangan takut cek hati. Hati jangan mati. Jagalah hati!




Muhasabah untuk diri sendiri terutamanya!


Tangan pertama yang menulis.


Mata pertama yang menatap.


Dan hati pertama yang wajib dimuhasabah.


Ilalliqa'..


:: "Allahumma faqqihna fiddin, wa 'allimna takwil, wahdina ilas sawa'is sabiil" ::


:: Ya Allah, kurniakanlah kami kefahaman yang mendalam tentang ilmu agama, dan ajarkanlah kepada kami ilmu yang boleh memahami sesuatu yang tersirat, dan tunjukkanlah kepada kami jalan yang sebenar2nya. :) ::

No comments:

About Me

My photo
a very normal and 'serba kekurangan' person. sedang mencari dan menuntut ilmu Allah. Masih banyak kekurangan yang tidak perlu dicari, akan terzahir dengan sendiri.