♥♥♥ Follow me ♥♥♥

Tuesday, May 01, 2012

Kuatnya aku kerana adanya dia. ;)

Sejak dari kecil, aku rasa, akulah anak yang paling menyusahkan Ibu Ayah.

Mana tidaknya, semuda 15 tahun, aku kerap berulang-alik ke HUSM. Masih segar diingatan aku, sewaktu menunggu di ruang tunggu di HUSM. Lenguh aku menunggu, aku berbaring di riba Ibu. Tapi Ibu, saban waktu menunggu tanpa jemu. Berkali aku kata pada Ibu,
"Jom la balik. Sihat je ni."
Tapi, susuk tua itu tetap sabar dan jua, turut mengajar aku bersabar.


Tidak pernah bosan dia minta cuti untuk temankan aku ke hospital. Saban minggu. Saban waktu.
Kebetulan, waktu itu, nenekku juga di bawah tanggung jawabnya.
Dalam seminggu, boleh jadi 2 kali dia 'bertapa' di HUSM. Menunggu di ruang daftar. Menunggu di tempat menunggu. Menunggu di kaunter ubat. Kemudian balik. Bukan sekejap. Boleh jadi 6-7 jam.

Tapi aku tengok, Ibu tak pernah mengeluh. Berulang alik ke HUSM dari rumah, bukan dekat. Jaraknya memakan masa boleh jadi lebih satu jam, bila jalan jem.

Jumpa pakar itu, jumpa pakar ini, demi KESIHATAN anak dan ibunya. Walhal, kesihatan dirinya sendiri tidak diambil berat.

Pernah satu ketika, aku sakit agak teruk. Ibu terus membawaku ke hospital swasta. Perbelanjaannya, bukan kecil. Tapi bila Ibu sakit, aku syorkan untuk ke hospital swasta, tapi dia tetap menolak. Lantas terbuktilah, betapa sayangnya seorang Ibu pada anaknya. Melebihi dirinya sendiri. ;)

Pernah juga ak berputus asa dengan kehidupannya yang tidak seperti remaja lain,kala itu.

"Mati je lah. Senang sikit. Penat la macam ni."

Tidak pernah dia marah setiap kali keluar dari mulutku perkataan itu. Malah, dengan sabar dia memujuknya, untuk kuat dan tabah.

Sewaktu aku merasakan Allah menghantar terlalu banyak ujian untukku, dia mendengar segala rintih sayu. Aku tahu, dalam hatinya, jauh dia lebih sedih berbanding aku.
Sehingga dia pernah berkata kepadaku,
"Sebab dosa Ibu ke anak Ibu kena tanggung semua ni?"

Dan berkali juga aku kata pada Ibu,
"Insya ALLAH tidak. Allah nak kuatkan iman ibu, iman kakak. Kalau betul sebab dosa kita, bersyukurlah. Allah mengurangkan beban di akhirat dengan memberi ujian di dunia."

Sewaktu di Darul Quran, Kakak pernah menelefonku dan bercerita. Katanya, tadi Ibu solat Subuh di bilikku.
Seusai solat, Ibu ternampak gambarku di meja tulisku. Sakan Ibu menangis teringatkan aku dan ujian Allah untukku.
Waktu itu, aku terlalu yakin, Ibu juga sakit melihat aku sakit. Allahu Allah..
Tapi di depanku, tidak pernah Ibu tunjukkan rasa itu. Sedikit pun rasa gelisah itu, tidak pernah terpamer di wajahnya.


Sehingga kini, aku sudah besar panjang. Dah jadi anak dara pun. ;)

Dalam setiap kesusahanku, dia ada menemaniku. Tidak pernah bosan mendengar ceritaku. Walaupun cerita orang-orang yang tidak pernah dia kenal disini (UIA).

Dia mendengar, seperti dia mengenali mereka.
"Kawan kakak tu, nama dia ...... . Dia macam tak suka kakak je. Dia selalu buat muka dengan kakak..bla.. bla.."

Dan nasihat Ibu pasti neutral.
"Takpelah. Kakak buat biasa sudah la. Kakak buat tak tahu pun. Biar dia sakit hati sorang-sorang. Kita kena buat baik dengan orang, biarlah apa orang buat pada kita."

Nasihat Ibu yang membentuk akhlak seorang aku. Aku menuruti semua nasihat Ibu, sedayaku.

"Kakak jangan jadi orang yang suka meminta-minta. Allah tak suka orang yang meminta-minta. Kelak di hari akhirat, akan dapat seksa orang yang suka meminta-minta ni."

Setiap kali nak meminta-minta, nasihat Ibu inilah yang bermain di mindaku.

Dan satu lagi nasihat yang paling aku ingat,

"Kalau orang meminta, kita kena usaha beri. Kalau ada orang minta sedeqah, bagilah walau seringgit. Jangan diherdik orang yang meminta. Kalau ada orang minta tolong, bantulah selagi kita mampu. Kalau lihat orang susah, tolong, nanti Allah tolong kita."

Aku seorang yang 'mudah marah'. Setiap kali marah, Ibu tempat yang aku meluahkan lava gunung berapi itu. Tidak pernah dia bosan melayan semua karenahku. Malah, setiap luahanku, pasti dibalasbalik dengan nasihat bermakna dan peringatan yang baik. ;)


Pernah aku tak puas hati bila selalu kena menunggu orang yang lambat dalam berjanji.
Kata Ibu,
"Dia lambat, itu urusan dia dengan ALLAH. Yang penting kakak datang awal. Kakak teruskan disiplin kakak, nanti semua orang akan terikut-ikut. Jangan putus asa. Tepati janji.. Insya ALLAH, setiap kali kakak tepat janji, ada rahmat Allah untuk kakak. Jangan marah mereka yang lambat, kakak tegurlah mereka. Kata pada mereka, Allah tak suka orang yang bila berjanji, dia mungkiri. Itu munafiq. Kakak jangan jadi munafiq ya."

Bukan soal itu sahaja, soal hati pun aku kongsi dengan Ibu.

"Ibu, ada budak laki tu dia mesej kakak. bla.. bla.."

Nasihat Ibu selalu bernas.


"Jawab yang perlu saja. Yang tak perlu, abaikan. Jangan sombong sangat, nanti dibenci orang."

Malah, kalau saya meminati seseorang pun, saya kongsikan dengan Ibu.

"Kakak minat la tengok dia. Macam baik je."

Jawapan Ibu pula,
"Berdoalah kakak.. Lagipun kakak muda lagi."

Semua cerita aku kongsi. Sehingga aku terlupa dengar cerita Ibu. Aku selalu ingatkan diri sendiri, nanti call Ibu nak tanya cerita Ibu lah.
Tapi biasanya sebaliknya yang akan berlaku. Ibu yang akan menjadi pendengar setia. Dari cerita selipar hilang dalam kereta sewa waktu pergi KL, sampailah cerita aku minta kebenaran nak beli selipar baru. Semuanya Ibu dengar, dengan sabar. ;) Walalupun aku bertanya soalan bodoh, seperti,
"Selipar harga berapa kakak nak beli ni Ibu?"
Ibu tetap jawab,
"Yang selesa kakak pakai. Ok lah mana-mana pun. Asalkan boleh pakai lama."

Hebatkan Ibu aku. Sangat. ;)

Seperkara lagi yang aku paling terharu dengan Ibu.

Dalam soal perjuanganku. Sedikitpun dia tidak pernah menghalagku. Ibu menaruh kepercayaan yang tinggi terhadapku. Dia percayakan aku. Sangat. Dia harapkan aku, sangat. Dia yakin dengan aku, sangat. ;)

Dia percaya, aku tidak akan buat perkara yang tidak elok. Aku menjaga amanah 'percaya' ini.

Bila aku katakan aku bakal bermusafir kemana-mana, dia dengan pesanannya untukku, jua kiriman doa yang berterus buatku. Tidak pernah dia menghalang segala usaha baik yang aku mahu lakukan.

Malah, setiap kali aku lelah dan penat, pada dia jugalah aku mengadu.

"Lamanya meeting tadi. Tensi kakak. Adui."

Ibu tidak pernah berkata, "Tak payahlah pergi meeting lagi!"

Sebaliknya, dia menyuruh aku rehat secukupnya. Study bila sudah segar. Beli aiskrim untuk menghiburkan aku. Malah, menyarankan aku membeli supplement untuk aku kuat dan hebat. ;)

Malah, bila aku ditimpa kesusahan, dialah yang pertama akan membantu aku. Tidak pernah dia menyalahkan 'perjuangan'ku, sebaliknya dia yang mengingatkan aku, semuanya adalah aturan dari ALLAH. Dialah yang mengingatkan aku, semua yang ALLAH beri adalah yang terbaek dan pasti ada hikmahnya. ;)


Inilah apa yang Ibu saya selalu pesan. ;)

Dan sering kali ayat ALLAH ini menjadi peringatan,
وَابْتَغِ فِيمَا آتَاكَ اللَّهُ الدَّارَ الْآخِرَةَ وَلَا تَنسَ نَصِيبَكَ مِنَ الدُّنْيَا
“Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi...” [QS. al-Qashash (28) : 77]

Masih terngiang-ngiang syarah Ibu akan ayat ini. Kata Ibu, perkataan 'wabtaghi' didatangkan dalam bentuk fiil Amr. Maksudnya wajib cari AKHIRAT DULU. ;)
Rindunya nak dengar Ibu memberi motivasi. ;)

Katanya lagi, kita tidak bahagia dengan kekayaan harta, tapi kita tentu bahagia dengan kekayaan amal ibadah.

Kejar akhirat, dunia akan mengikutmu di belakang. ;)


Tsabatnya saya berdiri hari ini, dengan adanya sokongan dari seorang Ibu seperti DIA,
Che Norisah Norika.

Terima kasih IBU!


Sehingga satu ketika, saat aku meminta izin untuk ke 'medan perang' baru-baru ini.
Awalnya Ibu melarang. Aku yakin, larangannya kerana dia risau pada aku. Pada kesihatan aku. Dia tahu, betapa 'fragile' nya seorang anaknya yang bernama 'aku' ini. Dia terlalu tahu.
Lantas aku kata padanya, 
"Kakak nak pergi berjihad. Kakak minta kebenaran Ibu. Kakak sedih tengok semua kawan kakak pergi. Kakak nak sangat pergi. Kalau Ibu bagi kebenaran, kakak akan pergi. Tapi kalau Ibu tak bagi, kakak tak pergi. Ibu istikharahlah. Esok Ibu bagitau kakak, boleh join mereka atau tidak."
Esoknya Ibu membalas SMS aku,
"Semoga ALLAH mudahkan urusan kakak. Pergilah jika mudah..."

Terharu. Aku yakin, bukan mudah dia memberi kebenaran untukku pergi. Sebelum ini, dia cukup particular dalam soal 'medan perang'. Tapi aku yakin, atas dasar "PERCAYA", dia benarkan aku pergi, malah dengan doa. Sepanjang perjalanan ke 'medan tahrir', doa Ibu aku mohon melalui SMS. Tentunya, seorang Ibu di rumah tua di Pasir Mas itu tidak pernah berhenti mendoakanku. Lantas, kerana doa Ibu, aku selamat dan segala urusan dimudahkan ALLAH. 
Pulang dari "medan tahrir", aku sakit seluruh badan. Nak ke kelas pun, terpaksa 'berjihad'. HEHE. 
Bila aku khabarkan pada Ibu, tidak sedikit pun dia menuding jari padaku. "Sapa suruh pergi cari pasal kat sana."
Tidak sesekalipun dia berkata begitu. Malah, dia suruh aku beli ubat, jumpa doktor. Katanya, 
"Itulah pengalaman!"
;)
Hebat sungguh Ibu aku. Terlalu hebat. 

Ujian yang ALLAH beri pada Ibu, aku sendiri tidak kuat mendengarnya. Tapi Ibu cukup tabah. Bukan aku seorang anaknya, malah dia ada lagi enam orang anak yang lain. Yang ada pelbagai mehnah dan masalah. Tapi wajah tua itu tetap tenang. Tetap tidak jemu memberi peringatan dengan nama Tuhan. 
Kuatnya aku hari ini, kerana ada seorang 'perempuan tua' yang sedang mendokongku. Mendoakanku. Memberi semangat dan inspirasi untukku.
Senyuman aku hari ini, kerana adanya seorang 'perempuan tua' yang menjadikannya indah dan bermakna. ;)
Hebat seorang Ibu. Hebat. Sehingga aku terfikir, mampukah aku menjadi Ibu sepertinya?
Aku selalu kata pada Ibu,
"Lepas ni kakak kawin, kakak harap suami kakak pun selalu sokong kakak. Selalu bersama kakak dalam medan ni. Ibu doakan kakak dapat suami yang baik ya. Insya ALLAH, yang paling penting, suami kakak sayangkan Ibu dan keluarga kakak macam kakak sayangkan Ibu dan keluarga."
Jawapan Ibu,
"Insya ALLAH, Ibu selalu doakan. Kalau nak suami yang sayangkan keluarga kita, kita pun kena sayangkan keluarga suami macam kita sayangkan keluarga kita. Insya ALLAH kakak dapat yang terbaek."
Terima kasih Ibu, atas semua pengorbananmu. Atas semua dorongan dan semangatmu. Atas semua bantuan kewanganmu. Aku tidak mampu membalas segala pertolonganmu. Tapi untukmu, aku sentiasa kirim doa istimewa buat ALLAH. 
Pada DIA yang Maha KUASA itu, aku mohon agar dilindungi seorang Ibu yang hebat. Aku mohon agar dijauhkan bala dunia dan akhirat. Jua, diberkati dan dirahmati senantiasa. ;)
Sekeping doa wajib untukmu Ibu,
"Ya ALLAH, pertemukan kami di syurga, Ameeen"

Seloka ni Kakak saya yang buat. ;)
orangnye garang pagi ke petang
Hebat memasak juga berperang
Kalau bising habisla kitorang
Tapi bak tetap disayang

Seindah secantik bulan purnama,
Cantik lagi ibuku tercinta,
guru agama yang paling disuka
kalau bercerita semua ketawa.

orangnya tegas suka tertawa
Dapat isteri kakza yang cantik
ali dan alya nama anaknya
hebat berbisnes penuh taktik

ini cerita benjamin button
makin berusia makin muda
Anaknya munir kawan bertimbun
ely dirumah diluar fiza

orangnye ensem manis dipandang
kawen ngan juriyah naim di dapat
khairil sedqi manager kilang
tegas orangnya suka menyakat

khalifa taufiq orang panggil die
cari isteri tak dapat-dapat
engineer pun die enjoy pun die
tapi kalau nangis dialah terhebat

Ini hanani yang suka makan
orang kate fotostat muka bu
rajin belajar rajin berjalan
dokter yang cantik juga pemalu

husna ini pelik orangnye
kadang manje kadang garang
penyakit die sume ade
tapi die tak henti berjuang

imam masjid nabawi cita-cita die
memang ridha anak yang bungsu
kalau bercakap palingla tak suke
manje tidak tapi rajin tolong bu

:: "Allahumma faqqihna fiddin, wa 'allimna takwil, wahdina ilas sawa'is sabiil" ::


:: Ya Allah, kurniakanlah kami kefahaman yang mendalam tentang ilmu agama, dan ajarkanlah kepada kami ilmu yang boleh memahami sesuatu yang tersirat, dan tunjukkanlah kepada kami jalan yang sebenar2nya. :) ::

1 comment:

Anonymous said...

(= subhanallah ... alhamdulillah.. allahuakbar ,,

About Me

My photo
a very normal and 'serba kekurangan' person. sedang mencari dan menuntut ilmu Allah. Masih banyak kekurangan yang tidak perlu dicari, akan terzahir dengan sendiri.