Malam itu, saya tekun menunggu keputusan. Kebetulan, Allah uji dengan demam. Badan panas suhunya tinggi. Makan muntah. Minum terasa leceh. Kepala semakin berat. Tapi update terus saya tunggu,dengan abang juga adik.
Tiba-tiba dapat berita peti undi hilang,dibawa lari di Pasir Mas. Abang ajak keluar ke bandar. Dengan sweater tebal, saya mengikut. Muka pucat,lesu. Tapi sayang,semua jalan ditutup. Polis berkeliaran. Jalan sesak. Akhirnya, kami bertiga end up makan mee goreng. Adehh.
Kembali ke rumah,saya terus collapse. Tidak sedar tertidur depan TV. Bila terbangun semula, sudah berselimut dan ada tuala basah di dahi. Mungkin Ibu terlalu sedih nak kejutkan saya. Saya cari Abang di biliknya. Tiada. Saya tengok kereta di garaj, Abang sudah pergi ke Kerteh. Saya tersentak, maksudnya Terengganu BN menang?
Semalam, kata Abang, kalau PR menang di Terengganu, dia cuti. Tapi Abang sudah pergi,bermakna...? PR kalah di Terengganu? Saya semakin gelisah. Jam dinding menunjukkan pagi masih awal, 4.05 pagi.
Untuk menghilang rasa haba di badan,saya bergegas mandi. Ternampak nota di dapur,dari Abang.
"You, am going. BN menang besarrrrr!"
Saya tahu,nota itu untuk saya. Tangan saya terketar-ketar. Semua bercampur, sejuk pagi dan gelisahnya hati.
Saya cari tablet. Adik saya sungguh baik,beliau sudah sedia tolong charge kan tablet saya. Saya buka FB, dan baca komen di HOME. Seakan tidak percaya apa yang saya baca. BN menang majoriti mudah. BN menang besar. PR kalah di Kedah dan Perak. PR hanya dapat 3 negeri.
Tablet itu saya tinggal. Sakit. Kecewa. Pelik.
Saya bergegas ke PC Ayah. Internet lebih laju dan paparan lebih jelas. Cerita blackout, dakwat tak kekal,pengundi hantu.... Hati saya bertambah syahdu.
Saya taip Jengka. Tempat yang saya mahu tahu natijahnya. Ustaz Tuan tewas di Jengka. Saya bersandar di kerusi, mouse itu saya tekan tanpa hala tuju. Saya tak mampu rasional.
"Aku rasa kebangkitan rakyat sudah terlalu besar. Tapi guane BN menang besar?"
Sedang aku berteleku di meja PC, Ibu keluar dari biliknya. Wajah Ibu juga sugul. "Macamana?" soal Ibu. Saya geleng kepala. "Teruk.."
Ibu senyum. Ibu tepuk bahu saya. "Berjuang bukan nak menang. Berjuang untuk Allah. Menang tu anugerah,hadiah.."
Pujuk Ibu. Seperti tahu beratnya rasa kecewa dihati anak perempuannya ini.
"Demam lagi? Tahajudlah.. Minta pada Allah,ditenangkan hati. Redha dan ikhlas.."
Saya tersentak lagi. Jam sudah 5 pagi. Saya terus bergegas ke tandas dan berwudhuk.
Di sejadah itu,saat mengangkat takbir, air mata saya mengalur,tiada tertahan. Surah Al-Fatihah itu khusyuk saya hayati maknanya. Saya dalami maksudnya. Saya tenggelam dengan nikmatnya mengadu pada Tuhan.
Selesai tahajyd empat rakaat dua salam, saya susuli dengan solat taubat. Dosa sayakah penyebab terhijabnya kemenangan buat Islam?
Sementara menunggu azan Subuh,saya terleku dengan Quran biru kesayangan. Saya belek randomly untuk dibaca terjemahannya.
"Janganlah kamu merasa lemah dan janganlah bersedih hati...."
Ayatullah benar ubat mujarab buat hati.
Azan Subuh berkumandang. Biasanya saya tidak ke masjid jika abang tiada. Agak susah tidak berteman. Tapi hari ini, saya gagahkan kaki. Kunci Viva itu saya capai. Dan saya pandu laju ke masjid di Bandar.
Ramainya orang berjemaah Subuh di masjid. Penuh kereta diparkir di kawasan sekitarnya. Ada banyak juga kereta yang ada bendera PAS. PAS menang dan kekal memerintah Kelantan. Satu prestasi yang teramat saya syukuri,alhamdulillah!
Subuh itu, imam membacakan Surah Arrum. Sebaknya saya tiada tertahan. Teringat kenangan Subuh di masjid Jengka,sewaktu imam membacakan surah Yusuf,saya juga sebak. Tapi kali ini,sebaknya berbeza dan berganda-ganda.
Seusai Subuh beserta Qunut Nazilah, saya menuju ke belakang masjid. Ma'thurat kubra jadi pilihan. Saya baca perlahan-lahan,agar Allah kuatkan hati dan lapangkan jiwa yang sedang sesak. Saya tidak berputus asa, cuma kecewa saya agar besar. Silap untuk saya kecewa. Sepatutnya saya berjiwa besar dan gagah perkasa. Sepertinya,saya mahu mendengar taujihat dari seseorang. Mahukan motivasi agar ikhlas menerima keputusan. Saya cuma ada Allah. Sahabat jauh di istana masing-masing. Tidak sedar bila saya terlelap. Saya tenggelam bermuhasabah mencari hikmah.
Sedar apabila Ibu menelefon bertanya saya dimana. Ibu ingat saya pengsan di masjid. Ahha,lucu.
Saya menunaikan dhuha sebelum bergegas pulang ke rumah. Dhuha yang penuh dengan harapan. Dhuha yang penuh dengan kekuatan dan impian. Dhuha yang penuh rasa redha dan ikhlas pada semua yang sedang berlaku. Dhuha yang penuh harap agar ada keajaiban tercipta. Tiada yang mustahil disisi Allah Taala.
Suasana dhuha di bandar sungguh tenang dan damai. Terkesan dihati saya menghirup udara segar di waktu pagi di bumi Kelate yang penuh rahmat. Saya bertemu beberapa orang kenalan sewaktu menunggu nasi berlauk di kedai. Ramai menegur wajah saya pucat dan lesu. Ramai yang kata senyuman saya palsu. Ahha. Saya demam,bukannya terefek dengan keputusan pilihanraya. Adehh. Penat disindir dan dibawa bergurau,layankan sajalah!
Dalam perjalanan pulang,saya singgah di tanah perkuburan nenek. Sengaja saya singgah, hati ini benar merindui susuk itu. Tahun 2008,saya masih ditemani nenek dihadapan TV sewaktu pengumuman PRU12. Kami bersujud syukur bersama. PRU13 suasananya berbeza. PRU14? Sudah tentu suasananya jauh lebih berbeza. Waktu itu mungkin saya sudah bersuami, berbaby atau baru pulang dari Aussie. Insya Allah. Ehhee.
Seusai menziarah kubur, says diajak Pak Cik ke rumahnya,berdekatan kubur. Kebetulan dia ternampak saya disitu. Pelbagai update saya dapat dari mereka. Sampai pening kepala saya mendengarnya. Adehh. Akhirnya saya minta diri dek kerana sudah tidak larat lagi.
Di rumah, tablet saya buka FB,saya renung dindingnya. Tiada yang menarik hati. Hati ini sudah tekad,perjuangan akan diteruskan. Rasa kecewa sudah terbang pergi,meninggalkan tapak. Rasa sedih dan lemah sudah tenggalam oleh ombak istiqamah. Rasa sakit dan perit sudah hanyut dibawa air ketaqwaan. Rasa sedih sudah terjual dengan sekeping keimanan sang pejuang.
Begitulah harus dididik hati. Jangan buarkan lama tenggelam dengan rasa kecewa dan lemah. Bimbang terbawa rasa futur dan ingin mengalah. Sedang perjuangan ini bukan matlamatnya kemenangan. Tapi hakikatnya, perjuangan ini untuk Tuhan. Menang kalah itu percaturan yang berkuasa ke atas seluruh alam.
Bukan salah untuk merasa kecewa. Tapi cepat-cepatlah pencari penawarnya.
Agar hati sentiasa kuat dan ikhlas untuk terus bekerja buat Islam.
No comments:
Post a Comment