♥♥♥ Follow me ♥♥♥

Tuesday, December 31, 2013

Terima Kasih, Abang.

Menari-nari tangan saya di lantai keyboard berwarna biru ini. Riang tariannya, tidak sesugul hati orang yang menulis.

Alhamdulillah, saya telah membunuh tiga keping subjek peperiksaan akhir semester dengan begitu rangup sekali. Allah tinggalkan saya dalam rasa khauf dan raja' (takut dan harap) selepas selesai menjawab ketiga-tiga kertas. Sungguh, perasaan takut dan harap ini membuatkan pergantungan kita hanya kepada Rabbil Izzati. Itulah selayaknya tempat kita menggantung harap. Jangan digantung harap pada usaha kita dalam exam. Usaha cuma sebab. Kejayaan itu miliknya DIA. Maka, gantungkan harapan kita sepenuhnya pada Dia.

Oh, start post dah mula nak membebel. Adik-adik LG selalu cakap saya suka membebel. Heh, itu agaknya kenapa ibu ni suka membebel kat anak-anak. Sebab nak tengok anak-anak jadi orang yang baik, buat benda yang betul dan berjaya raih kasih sayang Allah. Murninya kasih ibu. ;)

Saya menulis kerana malam ini saya rasa begitut terharu dengan kasih sayang abang-abang saya. Rasa terharu yang tidak tergambar. Rasa bersyukur yang tidak dapat diukur!

Sudah banyak episod yang berlaku antara kami dan saya berani katakan, mereka selalu jadi tempat rujuk paling baik. Subhanallah, besar sungguh anugerah abang-abang ini dari Allah untuk saya.

Masih segar di ingatan kalbu saya sewaktu saya difitnah macam-macam oleh orang yang saya tidak mahu tahu siapa. Dikatakan banyak perkara yang salah tentang saya. Yang pernah saya dengar diperkatakan sekalian orang, tapi saya cuma mahu diamkan. Apalah sangat mulut manusia. Penat bergosip, diamlah dia. Sehingga akhirnya saya punya fitnah itu jadi isu besar. Saya garu kepala. Pening dan mahu muntah, persis ibu mengandung 2 minggu. Saya tulis di whatsapp family. Menceritakan bagaimana banyak cerita tentang saya yang direka-reka manusia yang tidak takutkan Allah tersebut. Seketika kemudian, Abang menelefon.

"Istighfar banyak. Jangan marah orang. Dia fitnah, dia berdosa. Dekna kena banyak doa pada Allah."

Saya termenangis. Bukan tidak mampu menanggung fitnah itu, tapi rasa tersentuh dengan nasihat abang.

"Abang kan ada. Abang percayakan dekna. Abang kan ada. Abang tahu dekna bukan macam tu. Allah pun ada. Allah tahu semua kebenaran."

Saya terus menangis. Akhirnya, semua rasa beban dengan fitnah manusia yang tidak takutkan Allah itu hilang pergi. ya, hilang!

Tidak lama selepas itu, ada pulak seorang hamba Allah yang marahkan saya dengan menulis rasa marah itu di Facebook. Allah, panasnya hati saya sewaktu membaca amarahnya di mukabuku. Silap yang kecil, diperbesarkan. Malah, salah itu bukan juga salah saya. Salah orang lain, tapi diletakkan pada saya. Tidak jadi masalah untuk menanggung salah orang lain, bukan berat mana pun. Yang jadi lainnya, bila di tulis penuh amarah di laman mukabuku. Yang boleh dibaca seluruh dunia!

Saya printscreen amarah tersebut dan letak di whatsapp.

Apa respon abang-abang saya?

Mereka tidak putus ajarkan saya beberapa keping doa untuk menolak fitnah dan menenangkan hati. Tersentuhnya hati saya dengan mereka. Sabarnya mereka melayan saya yang banyak karenah. Sabarnya mereka dengar cerita hidup saya yang penuh mehnah.

Sehingga malam ini, selepas dinner bersama sahabat, kereta saya rosak di tengah jalan. Mujur tidak berlaku kemalangan. Alhamdulillah.

Saya cuma membuat satu panggilan telefon kepada abang. Mereka di Johor fikirkan penyelesaian. Saya rasa seperti puteri kayangan. Duduk bersilang kaki, menunggu keputusan abang-abang.

Sehingga ada salah seorang dari mereka mahu datang Kuantan, tapi saya halang. Saya perlu fokus pada peperiksaan. Kalau abang datang, siapa mahu layan? Saya awal-awal mohon undur diri. Hehe. ;)
Kerana ada tanggungjawab pada buku yang perlu dilunaskan.

Hebatnya abang mendidik saya.

Benar, orang kata saya dimanja. Semuanya abang. Abang dan abang.

Tapi sebenarnya saya ditarbiah. Mereka mendidik hati saya dengan penuh sabar. Penuh iman. Penuh taqwa. Bukan memanjakan, tidak.

Pernah abang-abang ditegur oleh makcik saudara kerana terlalu manjakan saya,

"Abang ni manjakan sangat adiknya. Semua bagi. Itu,ini. Serba serbi!"

"Bukan manjakan Cik. Bukan nak beri dia hidup mewah. Cuma tak mahu dia hidup susah. Masa depan nanti, bila dah kawen nanti. Dia kena belajar hidup. Ni tengah ajar dia untuk hidup."

Ya, dan mereka memang sedang ajar saya untuk hidup.

Terutamanya mereka ajar saya bersabar. Ajar saya bersabar. ya, bersabar.

Dulu, saya ni cepat marah orangnya. Mudah angin peribadinya.

Anak saudara tumpahkan susu pada baju saya, abang kata, tarik nafas dan tahan. Kemudian hembus. Jangan marah dan senyum.

Ya, dan saya berjaya melakukannya.

Tiket bas saya pukul 8.30 malam, tapi pukul 10 malam, bas belum sampai.
Abang ajak ngeteh. Kata abang, kita isi masa dengan buat benda lain, sabarlah menunggu.

Terlalu banyak untuk saya ukir satu persatu method mereka mahu mendidik saya.

Mereka mahu mendidik jiwa saya menjadi murni.

Dan siapa yang mendidik mereka?

Tentulah dari satu susuk tubuh mulia yang saya sayangi,
Ibu. ;)

Terima kasih Ibu sebab hadiahkan kakak abang-abang yang cukup mulia peribadinya, murni hatinya dan tinggi pekertinya.

Alhamdulillah.

Terima kasih abang.
Sebab layan semua karenah adikmu.
Sebab sabar mendengar celoteh mengarut aku.
Sebab selalu ada bilaku membutuhkan kamu.

Terima kasih abang
kerana berusaha mendidik aku.
menjadi hamba yang hatinya tidak kayu.
menjadi remaja yang fikirannya maju.
menjadi muslimat yang akhlaknya tepu.

terima kasih abang untuk semua pengorbananmu.
Kepada aku.
Yang mahu membalas tetapi tidak mampu.

Alhamdulillah ala kulli nikmah. ;)
:: "Allahumma faqqihna fiddin, wa 'allimna takwil, wahdina ilas sawa'is sabiil" ::


:: Ya Allah, kurniakanlah kami kefahaman yang mendalam tentang ilmu agama, dan ajarkanlah kepada kami ilmu yang boleh memahami sesuatu yang tersirat, dan tunjukkanlah kepada kami jalan yang sebenar2nya. :) ::

No comments:

About Me

My photo
a very normal and 'serba kekurangan' person. sedang mencari dan menuntut ilmu Allah. Masih banyak kekurangan yang tidak perlu dicari, akan terzahir dengan sendiri.