♥♥♥ Follow me ♥♥♥

Sunday, August 23, 2009

idamanku. DARUL TAQWA.

FERRARI, PIERRE CARDIN DI DARUL TAQWA.

Digosok-gosok lagi matanya. Dia seakan-akan tidak percaya apa yang
dilihatnya. Apakah aku kembali ke zaman unta, ke zaman kolot dan purba?
begitulah detik hatinya. Dikesat hidungnya yang berair dengan kertas
tisu. Kertas itu kemudiannya dicampakkannya ke tepi jalan.

"Assalamualaikum, pakcik..tolong kutip kertas itu. Nanti pakcik rugi di
Akhirat. Kebersihan itu separuh daripada iman." Bunyi satu suara di
belakangnya. Ia bingkas berpaling. Siapa berani menegurku? Aku Datuk
Dr.Johar, orang besar negara ini. "pakcik, biarlah saya tolong kutip,
sebelum Penguatkuasa Iman dan Islam datang. Nanti didendanya pakcik,"
kata budak kecil berpakaian putih dengan serban yang melilit kepalanya.
Datuk Dr. Johar membetulkan tali lehernya. Ah, kalau dia datang biar
aku sogok dengan duit ini . Siapa yang tak kelabu mata,tengok duit
merah, biru berlapis-lapis.
Namun, Datuk Dr. Johar terus hairan. Bangunan pencakar langit dengan
wajah pembangunan yang sofistikated. Ada helikopter bersimpang -siur
bergerak di udara. Railbus bercerakah ke sana sini. Bullet train
meluncur bagaikan panah dilepaskan dari busurnya. Kesibukan yang layak
dipikul oleh manusia-manusia moden. Namun peliknya, pakaian mereka,
tingkah-laku mereka...Ah, di mana aku sekarang ini, gerutu hati
Datuk Dr.Johar.

"Hoi budak, Aku dimana sekarang ?" soalnya kepada budak yang menegurnya
tadi. Budak itu tersenyum. Mukanya cerah dan indah. Tenang dan bersuara
lunak. Apakah ini Aladin, budak Arab dengan lampu ajaibnya: teka-teki
itu terus menerjah kepala dan kotak fikir Datuk Dr. Johar. Budak itu
membuka mulut hendak menjawab. Belum sempat,tiba-tiba datang sebuah
kereta jenis Ferrari, merah dan bercahaya. Keluar dua orang lelaki
dengan pakaian yang hebat dan segak.Serban mereka berwarna hitam
berjalur biru.

"Assalamualaikum....Maaf, pakcik. Kami terpaksa mendenda pakcik.
Kesalahan membuang sampah ini sudah belasan tahun tidak berlaku di
Darul Taqwa ini. Kami terpaksa mendenda pakcik. Kebersihan itu lambang
iman. Negara ini menitikberatkan iman....Pakcik didenda, 30 kali
subhanallah, 30 kali astaghfirullah dan selawat 100 kali."
Kata pegawai penguatkuasa itu dengan lembut. Datuk Dr. Johar tersentak.
Apa namanya undang-undang ini. Tak ada dewan bandaraya di seluruh
pelusuk dunia mengamalkannya. Dia tercengang-cengang. Namun egonya
membumbung tinggi.

Apa? Dia nak marahkan aku? " Ni duit lima ratus. Saya tak mahu buat
apa yang kamu minta. Kita selesaikan di sini saja. Berapa gaji yang
kamu dapat sebulan?" tanyanya angkuh.
"Pakcik, kita bekerja kerana Allah, bukan kerana gaji. Lagipun duit
bukan ada harga lagi di zaman ini. Semuanya dipandang sebagai alat,
bukan matlamat," kata pegawai berjanggut dan berjambang itu dengan
tenang.
"Oh, oh .... maafkan kami, pakcik. Kami nak tanya sikit, kenapa pakcik
pakai pakaian zaman dulu? Mana pakcik dapat pakaian macam itu ?" Tanya
pegawai itu pula. Aku yang gila, atau dia yang gila? Detak hati Datuk
Dr. Johar. Dia berjalan ke arah kereta Ferrari yang berkilat itu.
Melalui cerminnya dia nampak perawakannya dengan jelas. Tak ada yang
salah. Tali leher, kemeja dan kotnya masih kemas dan segak. Daripada
jenama yang mahal pula - Pierre Cardin. Kasutnya hitam berkilat
daripada jenis Bally. Ah! Aku masih unggul. Lelaki tampan, lambang
status dan kejayaan. Dia yang kolot, dia yang ketinggalan zaman.

"Anak muda, pakaian pakcik ni pakaian pemimpin. Pakcik orang besar di
negara ini. Pakcik dah keliling dunia dengan pakaian ni. "

"Pakcik, itu pakaian puluhan tahun yang lampau. Ketika Islam belum
berdaulat di Darul Taqwa ni. Moyang -moyang kami dulu saja yang
pertahankan pakaian macam itu. Itu pakaian orang kuno di Barat.Sekarang,
kami hanya dapat lihat gambar-gambarnya saja. Itupun dalam buku sejarah
zaman peralihan Islam. Orang Barat zaman moden ini dah berpakaian macam
yang kami pakai. Tak ada orang yang pakai macam tu kecuali orang-orang
bukan Islam yang dijamin kebebasannya dalam sebuah negara Islam seperti
darul Taqwa."

Datuk Dr. Johar termanggu-manggu kebingungan."Di mana aku sebenarnya
ni?" Dia bertanya lagi kepada pegawai penguatkuasa dan budak kecil di
tepi jalan. Dia masih kenal, Ini Jalan Chow Kit ditengah bandar Kuala
lumpur. Masih ada Masjid Pakistan dan Masjid Kampung Baru di sebelah
sana. Tetapi itu sahaja, yang lain tak ada.

"Pakcik di bandar Mutmainnah. Ini jalan Mujahadah, namanya. Saya Haji
Din,Pegawai Penguatkuasa Iman dan Islam. Diberi amanah untuk memastikan
kebersihan lahir batin bandar ini.

"Apa? Bandaraya Kuala Lumpur dah jadi Bandaraya Mutmainnah? Jalan Chow
Kit dah jadi jalan Mujahadah? Apa dia mutmainnah? Apa dia mujahadah tu?
Apa yang terjadi ni? Soalan-soalan itu terus menyerang benak Datuk
Dr. Johar.

"Pakcik, kami rayu pakcik membayar denda tadi. Kalau tak boleh sekarang,
lepas sembahyang nanti pakcik laksanakanlah. Demi kebaikan pakcik dunia
dan Akhirat..."

Tiba-tiba terdengar suara orang memberi salam dari jauh. Nyaring dan
jelas. Seorang lelaki pertengahan umur seorang kepada pegawai
penguatkuasa.

"Tuan, hukumlah saya. Saya mengumpat tadi. Ya Allah ! seksa Neraka amat
pedih..Tolonglah, tuan. Hukum saya di dunia sebelum saya di hukum di
Akhirat!" rayu lelaki itu. Pegawai tadi berpaling ke arah lelaki yang
baru datang, dan kesempatan itu diambil oleh Datuk Dr. Johar. Ia lari
sekuat-kuat hati.Peliknya mereka tidak mengejarnya. Ia terlepas...Lega.
Dahaga, lapar mula menggigit tekak dan perutnya. Dia mesti makan.Dia
perlu minum. Tapi di mana? Tiba-tiba ia terdengar suara komputer dari
sound system di tepi-tepi jalan :

"Assalamualaikum, kepada seluruh penduduk Kota Mutmainnah. Syed Al
Abrar, hartawan besar berada di jalan Uwais Al Qarni. Dia merayu fakir
miskin supaya sudi menerima sedekahnya. Hari ini ia menjamu nasi dan
minuman. Sila datang!"

Datuk Dr. Johar orang besar Darul Ghurur itu tidak akan mencemar duli
menagih nasi. Dia ada duit, mampu membelinya sendiri. Dia pun masuk ke
sebuah restoran di tepi jalan. Di situ penuh dengan pelanggan. Semuanya
berserban dan berjubah.Matanya tak betah lagi melihat semua itu.Tapi
kerana lapar ia masuk juga.

"Maaf tuan, itu pintu masuk untuk wanita. Di sini untuk lelaki."
"Ceh! Diskriminasi, doubel-standard, lelaki dipisahkan daripada
perempuan."Mukanya dicemekkan kepada tuan kedai yang menegurnya.
"Ada restoran lain yang mengamalkan persamaan taraf antara lelaki dan
perempuan? Saya tak suka pemisahan -pemisahan macam ni"

Lelaki itu tersenyum. "Empat puluh tahun yang lalu adalah.Sekarang ni
kita sudah bebas dan merdeka. Zaman penjajahan fikiran dan jiwa sudah
berlalu. Tak ada diskriminasi wanita di sini, tuan. Amir Muhammad,
pemimpin Darul Taqwa telah menaikkan taraf wanita tanpa Women's Libs.
Kalau tuan ada isteri dan membawanya bersama, sila masuk ke sana. Di
sana ada tempat khusus untuk makan bersama isteri dan anak perempuan,"
terangnya. Mukanya jernih.Serban dan jubahnya serba putih.

"Ini bertentangan dengan prinsip demokrasi. Sistem pemerintahan
kapitalis, sosialis, nasionalis malah komunis sekalipun tak macam ni..."
"Masya-Allah pakcik, jangan disebut lagi nama-nama ideologi tu. Semuanya
telah termaktub sebagai ajaran-ajaran sesat dalam perlembagaan Darul
Taqwa ini. Tak ada orang lagi orang yang berpegang dengan fahaman
jahiliyyah tu...Subhanallah...." Keluh tuan restoran itu sambil
mengurut-ngurut dadanya. Ekor serbannya bergoyang-goyang ketika ia
menggeleng-gelengkan kepalanya.

Ah! Persetankan semua itu. Perut aku lapar. Datuk Dr. Johar pun masuk.
"Nasi beriani sepinggan !"ujarnya kepada pelayan. "Dalam pinggan, tuan?"
tanya pelayan itu kehairanan.
"Ya, Apa peliknya ?". "Baik,tuan.Tapi semua orang berebut-rebut pahala
makan berjamaah. Tuan makan seorang ?" tanya pelayan berkulit hitam itu.
Dia tambah geram.direnung ke hadapan, iaitu ketempat orang menikmati
makanan.Tidak ada meja makan hanya hamparan permaidani tebal dengan
dulang-dulang indah yang tersusun rapi. Mereka makan satu dulang. Yek!
Jijiknya. Ah! Aku tetap aku. Aku ada pendirian! Nasi beriani dengan
ayam goreng kegemarannya terhidang di atas kain putih khas.
"Jemput makan dengan nama Allah yang memberi rezeki." kata pelayan itu
dengan sopan. Datuk Dr. Johar makan dengan seleranya. Dewan makan itu
berhawa dingin lengkap dengan alat TV dan pita videonya sekali. Dia
makan seorang diri bagai kera sumbang.

" Ya Allah, apa musibah yang menimpa ana Subuh tadi. Ana masbuk dalam
sembahyang jemaah Subuh, " ujar seorang lelaki muda dengan wajah yang
kecewa. Suapnya perlahan. Macam tak lalu makan saja

"Anta tak cuba tampung dengan amal makrufat yang lain ?"tanya sahabatnya
di sebelah.Dia nampak simpati. Datuk Dr. Johar pasang telinga saja.
"Ana nak sedekahkan lima ribu ringgit ...malang nasib ana. Ana tunggu
lima jam di tepi jalan tadi, seorang pun tak mahu terima sedekah ana "
Keluhnya. "Susah kita sekarang. Orang miskin yang bolot pahala redha,
pahala sabar. Mereka patutnya bantulah kita.Tolonglah terima sedekah
kita.Ah, susahnya jadi orang kaya macam kita ini. Dahlah nanti di
Akhirat banyak hisabnya, Di dunia orang tak sudi pula terima sedekah
kita.Oh...!" keluh seorang yang sama-sama makan dengan lelaki muda
tadi."Kalaulah kita hidup zaman moyang kita dulu, kan dapat kita
korbankan harta yang banyak ini. Saya pun dapat harta ni melalui warisan
daripada bapa, yang diwarisi oleh datuk saya daripada moyangnya. Kita
tunggulah bila kerajaan nak bangunkan projek negara atau nak gunakan
duit untuk kemaskinikan kementerian-kementeriannya.... saya nak labur
habis-habisan. Biar jadi saham Akhirat," kata pemuda itu menutup
perbualan. Mereka pun makan dengan perlahan -lahan.

Datuk Dr.Johar makin pelik. "Tambah nasi sepinggan lagi!" ujarnya kepada
pelayan restoran. "Demi kesihatan tuan, saya nasihatkan ... berhentilah
sebelum kenyang.Maaf tuan saya terpaksa mengatakan demikian. Saya
pelayan kedai merangkap pegawai perubatan ...," kata pelayan itu lagi.
"Apa? Awak pegawai perubatan? Seorang doktor ke? Kelulusan luar negeri
atau dalam negeri? Awak sepatutnya bertugas di hospital, bukan di
restoran!" bentaknya. Marah campur geram.

"Tuan, mana ada hospital sekarang.Yang ada khusus untuk bayi,
kanak-kanak dan wanita, juga para mubaligh dan mujahid yang cedera
ketika berjuang. Tuan, kalau tuan amalkan makan hanya bila lapar dan
berhenti sebelum kenyang, tuan akan sihat, insya-Allah. Kita tak
perlu hospital!"

"Bodoh, kalau macam tu, macam mana nak rawat pesakit kencing manis macam
aku ini?" leternya perlahan-lahan.
"Penyakit kencing manis? Tuan menghidapnya? Saya ada baca buku perubatan
edisi tahun 1990 dulu. Sekarang penyakit tu dah tak ada siapa
menghidapnya.....". "Batalkan saja oder saya tadi, banyak sangat cakap,
boring. saya perlu hiburan sekarang ...Di mana boleh saya dapati?"
tanyanya.
"Di sana, tuan. Melalui butang pada sistem komputer di sebelah sana,
tuan boleh dapat apa saja hiburan yang menyegarkan. Tak payah risau
pasal bil. Percuma." Datuk Dr. Johar, orang besar negara, melangkah
hebat ke tempat yang ditunjukkan. Berbagai -bagai butang dengan bermacam
warna berkelip-kelip. Sangat rumit tapi kekeliruan itu dapat
disembunyikannya. Dia malu kalau-kalau dengan pakaian jenama Pierre
Cardinnya ia masih kelihatan kolot..
Entah di mana falsafah moden Datuk Dr. Johar. Pada pakaiannyakah, atau
otaknya? Diberanikan hatinya; satu butang warna hitam ditekan. Dalam
skrin timbul tajuk besar-KHAUF.
Apa bendanya ni? Kemudian menyusul nama-nama lagu:
MATI ITU TERLALU SAKIT,ALAM BARZAKH YANG PASTI, MIZAN NOKTAH PENYESALAN,
IZRAEL DATANG TIBA-TIBA Oh...Oh ... seram sejuk tubuhnya.

Apa nama lagu macam ini? Biarlah menaruh harapan sikit. Hatiku macam
kristal, boleh pecah denganlagu-lagu macam tu. aku belum nak mati lagi,
protes hati Datuk Dr.Johar. Dia beralih ke butang hijau tanpa lengah
terus menekannya.Tertera di atas skrin komputer:'RAJA'.kemudian
tersembul tajuk-tajuklagu. Dibacanya dengan teliti... FIRDAUSI
MELAMBAIMU, DEMI CINTA DAN RAHMAT-NYA, KEINDAHAN JANNAH YANG ABADI

Kepala datuk Dr. Johar makin pusing. Semuanya tentang Akhirat. Apa nak
jadi ni? "Tak ada lagu yang hot sikit ke?" tanyanya kepada seorang anak
muda berjubah coklat di sebelahnya. "Nanti ya pakcik . Saya pilihkan
lagu yang paling hot sekarang ni.Top-hit anak-anak muda sekarang..."
"Ya, ya saya setuju," balas Datuk Dr. Johar.Telinganya dihalakan kepada
sistem suara di dinding restoran itu. Dia ingin dengar lagu-lagu
kegemaran muda-mudi daerah asing itu. Ayat suci Al-Quran bergema...

"Eh ...ni suara orang mengaji," "Nanti dulu pakcik,selepas ni ada
terjemahannya kemudian baru menyusul lagunya," kata pemuda berjubah
cokat itu smbil matanya di tutup rapat-rapat. Asyik sekali dia. Kemudian
getaran suara bergema .... Cintaku berlabuh di persada rahmat-Mu
mendamba kasih yang tidak berhujung mengutip sayang di hamparan cinta
suci. Inilah getaran hatiku memburu cinta.......stanza hati merindu
Ilahi!"

Datuk Dr. Johar tak tahan lagi. Ia merengus dan pergi ke kaunter
bayaran.
"Maaf tuan, duit ini duit lama. Kalau tuan tak mampu bayar kami
halalkan sajalah ..." Datuk Dr. Johar makin geram. Dia menderam dan
berkata " Saya bayar dengan kad kredit saja!" Dia hulurkan kad kredit
warna keemasannya. "Maaf sekali lagi, tuan. Kad kredit ini bukan yang
boleh kami terima, kami halalkan sajalah." "Tak, pantang saya minta
sedekah. Saya ada harta simpanan berbungkal-bungkal emas di bank.Takkan
saya nak bawa, nanti disambar pencuri." " Darul Taqwa tak ada pencuri,
tuan. Pencuri terakhir telah dipotong tangannya 30 tahun yang lalu
ketika minta dihukum di hadapan hakim kerana takutkan seksa Neraka."

"Ah, aku tak nak dengar semuanya. makin gila aku dibuatnya," pekik
Datuk Dr. Johar lantas meluru keluar dari restoran itu. Di luar,semua
pandangan menyakitkan hati. Mengapa orang kolot ini mentadbir teknologi
begini tinggi. Pemandu bullet train berserban merah tersenyum kepadanya.
Pilot helikopter dengan tulisan'MAKRUFAT AIR TRANSPORT' sibuk dengan
urusannya. Di seberang jalan tertegak papan iklan dengan tulisan yang
jelas :"KELUARGA BAHAGIA GEMBIRA DENGAN SUNNAH". Di papan itu terpampang
gambar seorang lelaki dan perempuan berserta anak-anak meraka.
Semuanya berserban, berjubah dan berpurdah. Isy,meluatnya!Di jalan-jalan
raya suasana meriah dengan salam dan senyum. Baginya,semua itu
seolah-olah menyindir dan mengejek.

Kenapa jadi begini? Kenapa? Kenapa? Kenapa? Mengapa? Mengapa? Mengapa?
Datuk Dr. Johar tiba-tiba menjerit. Tekanan dalam jiwanya yang kian
tersumbat itu tiba-tiba meletus.

"Datuk..!Datuk..! Bangun, Datuk. Ada berita buruk !" Datuk Dr.Johar
bangun. Ia tertidur sewaktu menunggu keputusan pilihanraya hari itu.
"Kenapa? Parti kita kalah? Aku kalah? " tanya Datuk Dr. Johar.
"Tidak, Tuk. Rakyat bangun memprotes. Mereka tak mahu demokrasi.Mereka
tak mahu pilihanraya..."

"Habis, mereka mahu apa?"
"Mereka mahu Islam, Datuk!"
"Islam ? " keluh Datuk Dr. Johar. Digosok-gosok lagi mataya.

ISLAM adalah tertinggi...tiada yang lebih tinggi melainkan ISLAm...
ISLAM itu agama Allah, agama Allah PENYELAMAT UMMAH... MAka
ISLAM PENYELAMAT UMMAH...
:: "Allahumma faqqihna fiddin, wa 'allimna takwil, wahdina ilas sawa'is sabiil" ::


:: Ya Allah, kurniakanlah kami kefahaman yang mendalam tentang ilmu agama, dan ajarkanlah kepada kami ilmu yang boleh memahami sesuatu yang tersirat, dan tunjukkanlah kepada kami jalan yang sebenar2nya. :) ::

No comments:

About Me

My photo
a very normal and 'serba kekurangan' person. sedang mencari dan menuntut ilmu Allah. Masih banyak kekurangan yang tidak perlu dicari, akan terzahir dengan sendiri.