MEMINJAM CERMIN TURKI
Sebagai perbandingan, jika dilihat ke sebuah negara yang kaya dengan huffaz seperti Turki, di negara itu tidak ada sesiapa yang digelar sebagai al-hafiz. Menjadi seorang hafiz atau hafizah bukanlah sesuatu yang dianggap pencapaian dengan status sosial, tetapi ia hanya melunaskan satu tuntutan sebagai seorang Muslim. Justeru, mindset setiap pelajar yang menghafal al-Quran bukan untuk membawa hafazannya sebagai satu aset kerjaya. Menjadi hafiz bererti telah memiliki sesuatu yang sangat besar untuk diri sendiri, tetapi belum mempunyai apa-apa untuk orang lain. Oleh itu, mereka menjadikan hafazan itu sebagai bekalan untuk meneruskan lagi proses pembelajaran. Dengan pemikiran seperti itu, saya melihat sendiri betapa sejumlah besar mahasiswa dan mahasiswi di Ilahiyat Fakultesi adalah terdiri daripada hafiz dan hafizah. Ia menjadi satu kredit besar buat mereka semasa melunaskan pengajian di peringkat universiti.
“Kamu sudah khatam al-Quran?” itu soalan yang sering ditanya di dalam masyarakat kita.
Terutamanya kepada anak gadis sebelum naik pelamin.
Tetapi di Turki jarang sekali kedengaran orang bertanya demikian.
Lazimnya mereka akan bertanya, “kamu sudah menghafal al-Quran?”
Suasana Kuran Kursu di Turki tempat anak-anak tempatan belajar dan seterusnya menghafal al-Quran. Kasual!
PROSES YANG MELENGKAPI
Saya kongsikan diskusi berkenaan dengan hal ini bersama pelajar Darul Quran, agar mereka meletakkan satu azam untuk tidak mudah berpuas hati hanya dengan selesai menghafal al-Quran dan memperolehi Sijil atau Diploma yang ditawarkan, sebaliknya hendaklah disambung lagi dengan peringkat pengajian yang lebih tinggi, hingga sekurang-kurangnya berjaya memperolehi ijazah di dalam mana-mana cabang bidang Pengajian Islam, sebelum benar-benar boleh berperanan dengan baik menanggung kepimpinan Islam di dalam masyarakat.
Begitu juga dengan program pensijilan yang meletakkan sasaran program untuk melahirkan hafiz dan hafizah, yang kemudiannya disalurkan mengambil jurusan profesional (bukan Syariah), sebagai acuan melahirkan golongan Profesional Muslim, atau Profesional yang hafiz! Saya merasakan seperti ada unsur simplistik dalam meletakkan formula sedemikian rupa. Seorang jurutera yang menghafal al-Quran adalah satu kelebihan yang besar pada dirinya untuk menjadi seorang Muslim Profesional atau Profesional Muslim, asalkan hafazan itu dimasak dengan latihan formal atau tidak formal di dalam cabang-cabang disiplin Pengajian Islam yang kita sedia maklum. Tetapi untuk sekadar memiliki 30 juzuk hafalan di dalam diri, dan kemudian beralih pula ke bidang perubatan dan kejuruteraan untuk melahirkan tokoh-tokoh yang berinspirasikan al-Khawarizmi dan yang seumpama dengannya, ia kedengaran seperti satu retorik.
PROAKTIF
Sebahagian Huffaz yang menjadi tulang belakang di sebalik penganjuran Bengkel Tinta Da’ie baru-baru ini
Justeru, kepada para hafiz dan hafizah itu sendirilah tanggungjawab bagi mereka bertindak secara proaktif dengan tidak membataskan diri kepada persepsi-persepsi itu tadi. Mereka harus mencabar diri untuk pergi lebih jauh. Jangan tunduk kepada demand yang hanya menghendaki kalian mengimamkan Tarawih. Itu besar, tetapi ada yang lebih besar menanti!
Kuasai ilmu-ilmu alat di dalam Pengajian Islam.
Kuasai juga Bahasa Arab dengan sebaiknya.
Itu jika jalan yang dipilih adalah pada mahu menjadi seorang agamawan.
Lebih cantik jika dapat dilengkapkan dengan penguasaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu, serta kemahiran-kemahiran lain seperti ICT, pengurusan, komunikasi dan lain-lain keperluan dakwah.
Ada pun jika para huffaz mahu meneruskan pengajian di dalam bidang akademik bukan Pengajian Islam seperti kejuruteraan dan perubatan, teruskan cita-cita yang amat bermakna itu. Namun perlu ada kesediaan di minda bahawa hafazan yang telah berjaya diperolehi, masih merupakan bahan separuh masak yang perlu dicanai lagi dengan pelbagai ilmu berkaitan Syariah. Justeru di celah-celah pengajian di universiti di bidang masing-masing, carilah ruang dan peluang untuk meneruskan pembelajaran di bidang agama.
Sesungguhnya saya sangat kagum dengan disiplin dan potensi yang dilihat selama saya berada bersama para huffaz di Darul Quran. Apa yang perlu diberikan secara konsisten adalah semangat untuk mereka terus berjiwa besar dan membawa al-Quran ke massa dengan segala ruang dakwah yang menanti.
“Dan dia (Yaaqub) berkata lagi: “Wahai anak-anakku! janganlah kamu masuk (ke bandar Mesir) dari sebuah pintu sahaja, tetapi masuklah dari beberapa buah pintu yang berlainan. Dan aku (dengan nasihatku ini), tidak dapat menyelamatkan kamu dari sesuatu takdir yang telah ditetapkan oleh Allah. Kuasa menetapkan sesuatu itu hanya tertentu bagi Allah. Kepada-Nyalah aku berserah diri, dan kepada-Nyalah hendaknya berserah orang-orang yang mahu berserah diri” [Yusuf 12: 67]
Selamat maju jaya saya ucapkan kepada para
huffaz al-Quran di mana sahaja mereka berada.
Semoga jiwamu sebesar al-Quran
yang telah mengisi hatimu.
ABU SAIF @ http://www.saifulislam.com/
68000 AMPANG
No comments:
Post a Comment