♥♥♥ Follow me ♥♥♥

Thursday, February 24, 2011

Menjadi Muslimat Hebat!

Muslimat Power! 
Sejarah Perjuangan Muslimat

Penglibatan muslimat dalam gerakan dakwah dan perjuangan menegakkan
kalimatul haq di atas muka bumi ini bukan perkara baru. Malah ia berlaku sejak zaman Rasulullah SAW lagi.

Contoh yang ditunjukkan oleh muslimat terdahulu seperti isteri pertama Rasulullah SAW, Saidatina Khadijah menjadi wanita pertama yang menyahut seruan Iman. Seorang yang cukup setia menemani baginda dalam susah dan senang , tidak pernah berhenti berusaha menenangkan hati baginda, menjadi penyokong dan sumber kekuatan yang kuat kepada baginda
. Saidatina Khadijah....... yang asalnya dari golongan bangsawan yang mempunyai harta yang banyak, menjadi sumber kewangan kepada perjuangan Islam ketika itu atas sifatnya yang sangat pemurah. Sehingga diriwayatkan, di akhir hayatnya, tidak ada harta yang tinggal padanya, semuanya diinfakkan ke jalan ALLAH SWT. Kewafatan Saidatina Khadijah membuatkan Rasulullah SAW berduka kerana kehilangan seorang isteri yang setia, pembantu dan pembela baginda dalam melanjutkan tugas dakwah yang suci ini.

Kata baginda;
"Allah tidak memberikan pengganti untukku yang lebih baik daripada Khadijah. Dia percaya kepadaku tatkala orang lain mengingkariku, dia membenarkan aku di kala orang lain mendustakanku, dia menyerahkan hartanya kepadaku tatkala orang lain menghalang aku, Allah mengurniakan keturunan melalui rahimnya tatkala aku tidak dapat daripada perempuan-permpuan lain (isteri-isteriku)"


Begitu dalamnya cinta dan sayang baginda kepada Saidatina Khadijah. Saya pasti, sukar untuk kita mencari wanita sehebat beliau dalam sejarah perjuangan muslimat hari ini.

Sejarah tidak melupakan kehebatan seorang wanita yang hebat dalam ilmu Al-Quran, hadis, ilmu fiqh, sejarah dan juga Bahasa Arab, iaitu juga salah seorang isteri baginda Rasulullah yang dikahwini pada usia yang begitu muda,
Saidatina Aisyah r.a. Abu Burdah bin Musa dari ayahnya ada menerangkan bahwa ; "setiap sahabat yang menemukan kesulitan dan bertanya kepada Aisyah r.a pastilah mereka mendapat jawapan yang mantap dan ilmiah.." Tercatat juga dalam sejarah bahawa Saidatina Aisyah r.a adalah termasuk salah seorang daripada 7 orang Majlis Syura. Kehebatan Saidatina Aisyah r.a dalam bidang ilmu banyak membantu baginda dalam menyampaikan risalah dakwah terutamanya dikalangan kaum wanita. (Maka, muslimat, mantapkan ilmu untuk membantu dakwah Zaujmasing-masing kelak. Kata nak jadi sayap kiri perjuangan? J )


Saya tampilkan juga seorang lagi pejuang muslimat yang cukup tegar di medan peperangan,penuh keberanian,
Nusaibah binti Ka'ab. Nusaibah antara wanita yang ikut sama di dalam perang Uhud, yang tugasnya memberi minum kepada muslimin yang berperang dan terluka di siang hari. Namun di saat genting, ketika tentera muslimin dalam porak poranda akibat tidak mengikuti arahan baginda Rasulullah, beliau segera mendekati Rasulullah dengan pedang dan anak panah sebagai pelindung kepada baginda. (Jangan di sangka tangan yang lembut menghayun buaian tidak boleh menggoncang dunia. Mari hebat dalam segala sudut. MULTITASKER! ) Di dalam peperangan ini, dengan keberanian yang ada pada Nusaibah, beliau telah mendapat luka yang teruk di seluruh badannnya di mana luka itu mengambil masa selama satu tahun untuk sembuh. Nusaibah sehingga kini disebut sebagai Srikandi Perisai Nabi.

Seorang lagi srikandi yang saya suka untuk kongsikan di sini iaitu,
Sumayyah, orang pertama yang bergelar syahid. Kerana teguh dengan keimanan, beliau diseksa dengan begitu kejam sekali oleh Abu Jahal. Beliau dipakaikan baju besi dan dijemur dibawah terik panas matahari yang membakar. Kerana keteguhan inilah, Abu Jahal telah merejam beliau dengan tombak sampai mati. Teringat saya akan bait-bait indah dalam lagu yang disampaikan oleh kumpulan Hijjaz akan perjuangan syahidah pertama ini.

Sabarlah keluarga Yasir bagimu Syurga di sana
Dan kau pun tega memilih syurga
Walau terpaksa berkorban nyawa
Lalu tombak yang tajam menikam jasadmu yang tiada bermaya
Namun iman di dadamu sedikit tidak berubah

Darahmu menjadi sumbu pelita iman
Sumayyah kau lambang wanita solehah
Tangan yang disangka lembut menghayun buaian
Menggoncang dunia mencipata sejarah

Bait lagu ini pernah menanam satu semangat dan keinginan yang tinggi dalam hati dan jiwa saya untuk menjadi seorang insan yang berbakti kepada agama selama kehidupan ini.
( Insya Allah)

Ramai lagi pejuang Islam Wanita yang boleh dijadikan contoh dan ikutan kita di zaman ini. Cumanya, saya tampilkan empat srikandi ini untuk saya rumuskan beberapa perkara.

Pertama, seorang isteri itu perlu ada kesetiaan dan rela hidup bersama dengan suami dalam senang dan susah. Tidak kira dalam kondisi dia seorang yang berkerjaya, yang lebih tinggi gajinya daripada suami, ataupun yang mempunyai pangkat yang tinggi berbanding suami. Kesetiaan ini, mampu memberi impak yang tinggi kepada si suami dalam meneruskan perjuangan seperti setianya Saidatina Khadijah kepada baginda Rasulullah SAW. Susah senang suami dapat dirasai bersama oleh isteri dan sentiasa berada di sampingnya untuk memberikan semangat kepada suami.

Kedua, seorang isteri perlu ada kemahiran psikologi yang baik. Ilmu kejiwaan ini sangat membantu dalam kehidupan suami yang berada dalam gerakan dakwah ini. Mereka yang berjaya menguasai ilmu psikologi ini dapat membantu suami dalam perjalanan dakwah dengan tenang di samping pertolongan dari ALLAH.

Ketiga, kepentingan ilmu. Muslimat yang ingin berada dalam gerakan dakwah, perlu ada ilmu. Agar perjuangannya mempunyai sandaran dan asas. Imam Hasan Al-Banna sendiri meletakkan rukun pertama ialah FAHAM. Untuk memahami, muslimat harus dilengkapkan dengan ilmu dan menyampaikan juga berdasarkan ilmu. Sebagaimana Saidatina Aisyah r.a yang menjadi gedung ilmu, begitulah juga muslimat pada hari ini. Yusuf Qardhawi menyebut, adalah wajib bagi setiap wanita terhadap orang tuanya, anak-anaknya, serta kawan-kawan sejantina dengannya, untuk menganjurkan pembersihan aqidah dan tauhidnya dari pengaruh di luar Islam. Dan kewajipan ini memerlukan ilmu.

Keempat,
muslimat harus berani.
Muslimat kadang-kadang perlu dibelakang sebagai pendorong dan pembantu, namun ada masa dan ketikanya harus di hadapan. Sebagaimana Nusaibah yang asalnya bergerak sebagai pemberi air dan perawat luka tentera muslimin, namun, di saat yang genting, memerlukan dia untuk tampil ke hadapan berjuang di medan peperangan. Muslimat sebagai isteri solehah, ibu mithali, keutamaannya adalah mendidik anak-anak, namun tidak bererti dia harus meninggalkan lapangan dakwah dalam konteks masa kini yang memerlukan tenaga muslimat di lapangan dakwah. Jadi, harus bijak bertindak.
Bagaimana? Rancang dan fikirlah.

Kelima, mujahadah dan kesabaran yang tinggi. Indahnya kesabaran dan semangat jihad yang ditunjukkan oleh Sumayyah dalam mempertahankan aqidahnya. Hakikat kehidupan dalam perjuangan, jika mudah dan senang itu, bukan dinamakan perjuangan. Sabar kita dalam berkerjaya, sabar kita dalam menguruskan rumahtangga, sabar kita dalam menyampaikan dakwah.
Andai hilang kesabaran, rebahlah kita di pertengahan jalan.

Sekian. Wassalam.


 

J


:: "Allahumma faqqihna fiddin, wa 'allimna takwil, wahdina ilas sawa'is sabiil" ::


:: Ya Allah, kurniakanlah kami kefahaman yang mendalam tentang ilmu agama, dan ajarkanlah kepada kami ilmu yang boleh memahami sesuatu yang tersirat, dan tunjukkanlah kepada kami jalan yang sebenar2nya. :) ::

No comments:

About Me

My photo
a very normal and 'serba kekurangan' person. sedang mencari dan menuntut ilmu Allah. Masih banyak kekurangan yang tidak perlu dicari, akan terzahir dengan sendiri.