♥♥♥ Follow me ♥♥♥

Sunday, June 12, 2011

Negara berkebajikan?


Saya memetik kata-kata Datuk Seri Najib, Perdana Menteri Kesayangan rakyat Malaysia,


"PAS dikira ketinggalan. Mereka melaungkan slogan NEGARA BERKEBAJIKAN, sedangkan kita, UMNO, Barisan Nasional, SUDAH LAMA menjalankan agenda itu! SUDAH LAMA! PAS ketinggalan!" kemudian disahut sorak sorai oleh penyokong-penyokong yang memang menyayangi Datuk Najibnya.

Terkesima. Kemudian, wartawan RTM1 meneruskan agenda bergajinya dengan bertanya pada orang ramai,

Kata salah seorang bekas ahli PAS,

"PAS semakin lama semakin menyimpang dari landasan yang hendak diperjuangkan. Sanggup menggadaikan prinsip agama kerana nak menjaga kehendak pasti yang beragama lain seperti DAP."

Kata seorang lagi,

"PAS sudah hilang modal. Sekarang ISLAM pun sudah diketepikan. Semakin Nampak PAS hanya berselindung di bawah nama ISLAM. Seolah-olah PAS bermain-main dengan ISLAM itu sendiri."

TV Panasonic itu saya tutup. Kemudian meneruskan operasi menghidang makanan di dapur untuk makan malam bersama keluarga. Ibu tanya, kenapa tutup TV, kata saya, nak menghidang pun tak senang tengok TV, bikin panas aje. Ibu diam. Dan saya meneruskan operasi. Tapi masih kedengaran suara-suara yang sinis dari TV di ruang menonton TV, ayah masih setia menonton nampaknya.

Akhirnya, setelah membuka ruang perbincangan di group, saya putus asa, tidak hangat isu yang saya timbulkan saya kira. Tidak mengapa. Blog kan ada! Saya sekadar memetik kata-kata Imam Muda Asyraf. Bukan tidak mahu berkongsi pendapat, tetapi kita tengok dulu pendapat IM Asyraf. Mari sama-sama renungkan. J

[IM ASYRAF] punya kata-kata~

Saya pernah mendapat kritikan. Saya juga pernah diserang di Facebook. Saya juga pernah disoal dalam sesi ceramah. Isunya tidak lain. Ianya soalan yang saya kategorikan daripada kelompok yang 'bersemangat'. Namun bukanlah kita ingin memecahkan berlian semangat yang bersinar tersebut. Ianya lebih indah jika difahami satu perjalanan dalam mana-mana insan yang sedang tercari-cari jalan untuk melebarkan semangat mereka.

Perkara persoalan 'Negara Islam' ini sering diajukan kepada saya malah ramai ustaz-ustaz yang turut menghadapi perkara yang sama. Mungkin juga gelaran dan label yang tidak sepatutnya digelar kepada para asatizah hanya kerana kesangsian tanpa ilmu. Ada yang digelar 'Tidak berprinsip'. Ada juga dilabel 'Ustaz parti itu dan ini'. Kadang-kadang ianya hadir dari seorang remaja muda yang baru sehari dua memahami isu 'PERJUANGAN' namun dilabelkan ustaz-ustaz (bukan saya) yang sudah kukuh strategi dakwah mereka. Namun saya pasti para ustaz tersebut mungkin ada caranya tersendiri. Kepada kelompok yang beralasan kononnya 'tadarruj' namun tidak pernah bercita-cita langsung itu, maka ianya berhak dipertikai. Namun bukan semua ber'tadarruj' itu tidak bermatlamat.

Ada segelintir golongan yang sukar menerima hakikat konsep 'tadarruj' (berperingkat-peringkat) dalam pelaksanaan. Ada juga yang dengan 'GAH' nya menyerang dengan mendatangkan dalil yang pelbagai. Termasuk juga dengan semangat katanya 'HUKUM TETAP HUKUM!!!'

Mungkin ada yang berbeza pandangan dengan saya. Maka kita meraikan perbezaan tersebut. Berbeza bukan bererti bermusuh. Itulah kelemahan sistem cara kita menerima Islam. Masuklah Islam dari pintu AKIDAH. Bukan dari pintu semangat semata. Kelemahan para penuntut ilmu yang hanya asyik dan leka meng'HUJUM' orang lain dek kerana bahan bacaan yang tersalah urutannya. Kita lebih dahulukan meng'KHATAM' buku berbentuk 'afkar' (fikrah Islamiyyah) daripada buku berbentuk 'ahkam' (syarak Islamiyyah). Membuatkan kita sukar meneliti antara Daulah Islam dan Darul Islam.

Antaranya pernah sekali saya disoal soalan provokasi di hadapan secara umum. Belumpun saya menjawab terus dijerit "Kalau ustaz berani…jawablah!!!" Bukan persoalan takut atau tidak. Tetapi berani itu juga bertempat. Apakah digelar pengecutnya Nabi SAW dalam Perjanjian Hudaibiyyah? Apakah layak Nabi SAW digelar pengecut pada peristiwa Pembukaan Kota Mekah?

Setiap tindakan bukan semestinya dengan matlamat untuk kita menikmati dan mata kita memerhati. Terkadang perjuangan yang sedikit itu tidak dirasai kita. Tetapi ianya dijamah dan dinikmati oleh anak cucu kita. Itulah kesan apabila semuanya mahu di'Instant'kan bagaikan mee segera. Apapun saya menganggap dan pasti, walau gaya itu kadang tidak menepati, tetapi  inilah suara-suara yang tersemat dihati mereka rasa 'Cintakan Islam'. Tahniah buat kita semua!!

Alhamdulillah….

Syukur berbanyak-banyak. Setelah berguni jawapan yang diberi. Sesudah berhujjah kita hamparkan. Namun sekiranya kita belum menyarung jersi pasukan mereka, maka selagi itulah jawapan kita terkadang akan ditolak ..Detik yang ditunggu-tunggu itu akhirnya dimudahkan. Tanpa perlu banyak berhujjah. Akhirnya ianya dijawab sendiri oleh Kapten pasukan. TERIMA KASIH TG HADI AWANG DI ATAS PENCERAHAN INI.

Ucapan TG Hadi Awang baru-baru ini dalam Ucapan Dasar pada Muktamar Tahunan PAS kali ke-57 di Dewan Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad,Taman Melewar, Gombak benar-benar satu titik besar rencah fikrah harakah Islammiyyah di Malaysia. Kata beliau :

"Apa yang penting adalah pelaksanaan Negara Berkebajikan oleh PAS. Jika letak jenama saja tanpa pelaksanaan, maka tiada faedah. Kita mulakan dengan pelaksanaan negara berkebajikan berdasarkan apa termaktub di dalam Al-Quran yang tidak menyebut negara Islam, tetapi disebut Negara Berkebajikan yang menunjukkan ianya diiktiraf dalam Islam,"

Tertarik dan terkesima. Suatu jawapan yang superb. Bukan isu jenama yang diperjuangkan. Tapi isunya sekarang ialah pelaksanaan. Andai pengisytiharaan 'jenama' itu satu yang tak mampu dilakukan, maka ianya lebih bahaya bagi agama. Lebih indah ianya menepati 'Isi Kandungan' lalu jenama itu menyusul kemudian. Namun kita bersangka baik, meletakkan nama itu adalah satu cita-cita.


Walaupun konsep 'Negara Berkebajikan' itu masih dikaburi. Namun ianya bukanlah sesuatu yang perlu disanggahi. Pihak tertentu perlu tampil memberi penjelasan. Perlu diperjelaskan perbezaan antara 'Welfare State dan State's Welfare' . 'Kebajikan' hanyalah salah satu aspek yang wajib dijaga di bawah Negara, tetapi ia bukanlah merupakan bentuk/model negara itu sendiri. Negara Kebajikan asalnya adalah ciptaan Kapitalis hanyalah konsep yang digula-gulakan kepada rakyat untuk semata-mata menutup kezaliman pemerintah Kapitalis dan agar rakyat terus menyokongnya, sedangkan di dalam Islam, kebajikan rakyat dijaga oleh pemerintah kerana ia adalah kewajiban yang Allah pikulkan ke atas bahu mereka, bukan (diterapkan) kerana ingin mendapat sokongan rakyat. Berdasarkan hadis "Imam (pemimpin) itu pemelihara, dan ia bertanggungjawab ke atas orang yang dipeliharanya (rakyat)" [HR Mutaffaq alaih], adalah jelas bahawa kebajikan rakyat terletak di bahu negara/pemimpin, iaitu di bawah state's welfare (kebajikan negara) dan kewajiban ini bukanlah timbul dari (atau perlu dilaksana berdasarkan) konsep welfare state.

Kita tidak mahu sekali lagi kecelaruan 'fikrah' itu membuatkan ramai yang tersalah anggap dengan konsep 'Negara Berkebajikan'. Tahniah kepada PAS pada Muktamar kali ini yang benar-benar berani menyatakan perubahan. Walaupun saya pasti ianya akan menjadi bahan kempen bagi parti lawan mereka.

Walaubagaimanapun dimensi aliran pemikiran ini suatu yang baik untuk masa depan. Termasuk juga pandangan berbeza dari golongan Hizbut Tahrir berkenaan Konsep Negara Berkebajikan ini perlu juga kita teliti dan rungkaikan. Agar ianya lebih jelas dalam rangka membawa Islam itu sendiri dalam kaedah yang bertepatan.

Semoga Allah memberi hidayah, ilmu, taufik, hikmah dan memudahkan kita semua..Ameen…




Anda juga boleh rujuk disini untuk maklumat lanjut : {KLIK KALAU MAHU JADI MAHASISWA BERINFORMASI}
dan {KLIK INI}




Lebih baek kaji dulu sebelum berkata-kata.

:: "Allahumma faqqihna fiddin, wa 'allimna takwil, wahdina ilas sawa'is sabiil" ::


:: Ya Allah, kurniakanlah kami kefahaman yang mendalam tentang ilmu agama, dan ajarkanlah kepada kami ilmu yang boleh memahami sesuatu yang tersirat, dan tunjukkanlah kepada kami jalan yang sebenar2nya. :) ::

No comments:

About Me

My photo
a very normal and 'serba kekurangan' person. sedang mencari dan menuntut ilmu Allah. Masih banyak kekurangan yang tidak perlu dicari, akan terzahir dengan sendiri.