Masya ALLAH, hebat sungguh kesan dakwah Rasulillah ke Thaif. Menjadi lebih berat dari peristiwa Perang Uhud. Terimbau sirah perang Uhud.
"Melihat musuh lari tunggang langgang, tentera yang lima puluh orang yang diserahi menjaga celah bukit itu, lupa kepada kewajibannya. Mereka turut mengejar musuh yang lari meninggalkan tempat pertahanan mereka, kerana mengharapkan harta rampasan yang banyak, kepunyaan musuh yang lari itu. Dengan suara yang keras sampai serak, Ibnuz-Zubair menyuruh mereka kembali, tapi tidak diacuhkannya samasekali.
Melihat tempat pertahanan yang stratejis itu telah kosong tentera musuh yang lari dengan dipimpin oleh Khalid Ibnul-Walid itu, segera mengarah ke tempat pertahanan yang kosong itu. Dengan melalui celah bukit itu mereka menyerang tentera Islam dari belakang. Ibnuz-Zubair yang tetap bertahan seorang diri di situ, tewas diinjak oleh kuda kenderaan Khalid sendiri. Panji panji Quraisy yang sudah rubuh itu berkibar kembali dipegang oleh seorang perempuan Makkah, 'Umarah binti 'Alkamah namanya.
Tentera Islam menjadi kacau bilau. Sebahagian telah lari pulang ke Madinah, Usman bin 'Affan sendiri terbawa juga. Para sahabat bergelimpangan ke bumi menemui ajalnya. Anak panah dan batu tidak putus putus menghujani tentera Islam yang berkumpul di sekitar Nabi; tiba tiba Nabi dilontar oleh batu, sehingga luka parah dan patah giginya. Baju besi yang kena batu, pecah dan pecahannya menembus ke pipi Nabi. Abu Usman mencabut besi itu dari daging Nabi sehingga giginya pun patah pula.
Nabi terjatuh ke sebuah lubang yang agak dalam sehingga hilang dari pandangan orang ramai. Pasukan Quraisy lalu berteriak mengatakan, bahawa Muhammad sudah tewas. Ali dan Talhah segera menolong dan mengeluarkan Nabi dari dalam lubang itu. Umar, Abu Bakar dan Ali pun serentak menyerbu ke tengah tengah musuh sebagai singa yang lapar layaknya. Maka tinggallah Nabi dilindungi oleh Abu Dujanah dan Abu Talhah saja. Badan Abu Dujanah penuh luka untuk menangkis segala serangan yang ditujukan kepada Nabi, sehingga kerana luka dan keletihan, dia pun meninggal. Seorang perempuan Ansar melihat Nabi tinggal seorang diri, lalu menyerbu ke muka menikam setiap musuh yang menuju ke arah Nabi, sehingga perempuan itu pun tewas pula. Perempuan itu Ummu 'Umarah namanya.
Dalam pada itu, suara musuh yang mengatakan Nabi sudah tewas itu, segera menjalar di medan pertempuran. Mendengar itu, Ali, Umar dan Abu Bakar bukan main terperanjatnya, sehingga semangat pertempurannya menjadi tergoda kerananya. Melihat itu Anas bin Nadhir berkata kepada mereka:
"Kenapa kamu kecewa? Kalau betul Nabi sudah wafat, apa gunanya hidup ini bagimu? Ayuh! Mari kita bunuh musuh seramai mungkin sampai kita syahid pula sebagai Nabi sendiri!"
Sebagai teladan, dia segera melompat menerkam musuh. Dia rebah penuh dengan luka-luka sehingga tidak dapat dikenal lagi rupanya. Badan, muka dan jari jarinya putus kena pedang musuh. Hanya saudara perempuannya saja yang dapat mengenal dia dalam keadaan yang demikian itu. Ali, Umar dan Abu Bakar menyusul berjuang mati matian menetak musuh dengan pedangnya. Semangat tentera Islam hidup kembali.
Tiba tiba terdengar Ka'ab bin Malik berteriak mengatakan Nabi masih hidup segar bugar, malah beliau pun sedang berjuang mati matian. Dari segala penjuru, tentera Islam menyerbu menyusur ke tempat Nabi berada. Nabi yang sedang terkepung dari segala penjuru, dapat mereka bela, sehingga terlepas dari bahaya besar. Mereka lalu merebut kembali celah bukit yang stratejis dikuasai musuh itu. Dengan direbutnya tempat itu, musuh dikepung ditengah tengah. Perlawanan musuh dapat dipatahkan dan akhirnya lari menyusup dilereng bukit Uhud, dimana terjadi pertempuran maju mundur beberapa hari lamanya. Kerana sudah keletihan dan banyak korban, mereka lalu pulang ke Makkah kembali.
Dalam pertempuran itu, ummat Islam menderita kerugian yang lebih besar, tujuh puluh orang tewas. Sedang di pihak musuh hanya dua puluh tiga orang saja yang tewas. Sungguh mahal harganya strateji yang ditetapkan Nabi kerana dengan melengahkan strateji itu dan harus membayar dengan tujuh puluh orang korban dan Nabi sendiri pun dapat luka dan hampir saja menjadi korban."
Sirah Rasulullah adalah kisah terbaek untuk dibaca. Ia mampu menguatkan motivasi. Ia mampu memberi inspirasi.
sayang Rasulullah! |
Pengajaran Peristiwa di Thaif :
Meskipun dakwah Nabi ditolak, tidak ada siapa yang sudi mendengar seruan HAQ yang dibawa Baginda, malah Baginda dilempar dengan batu, sehingga cedera jasadnya. Dakwahnya di tolak tanpa bicara.
Mulianya hati Baginda. Malaikat menawarkan bala untuk penduduk Thaif, tapi Baginda membalas dengan DOA.
Mulianya Baginda. Subhanallah. Kalau aku ditempat Baginda, mungkin jawapanku, "Hancurkanlah penduduk Thaif, Wahai Malaikat.."
Sungguh, tidak ada sebab untuk aku tidak mengagumi susuk tubuh mulia, Muhammad Rasulillah.
Bagaimana kita? Jangan kata ujian ketika berdakwah, berdakwah pun ON OFF. Kononnya terlalu banyak komitmen lain, sehingga menghalang tugas dakwah.
Pernah kita terfikir? Bagaimana jerih payah Rasulillah dan para sahabat menjaga Islam dan menyebarkannya? Sehingga ISLAM kekal sehingga hari ini. Bertuahlah kita mengecapi nikmat ISLAM.
Tapi sayang, ISLAM hari ini terlalu murah bagi kita. Kita terlupa sirah berdarah Rasulillah untuk menyebarkan ISLAM. Sebab tu, kita boleh, duduk diam, pangku tangan dan cakap kosong macam-macam.
Ya ALLAH, sekiranya aku tergolong dalam golongan yang tidak memperjuangkan ISLAM, ampunilah aku.
Aku yakin, ISLAM, tidak tertegak kerana adanya AKU. Tidak gemilang kerana perjuangan AKU. Walhal, ALLAH yang berjanji menjaga DIINUL HAQ itu. ALLAH yang akan menjaganya. Tapi aku tetap mahu menjadi salah seroang yang menjulang panji ISLAM di tempat yang selayaknya ia berada. ^_^
Pengajaran Perang Uhud.:
Sayang dan kasihnya sahabat Rasulillah kepada Baginda. Namun, sedikit pun tidak goyah keimanannya kepada ALLAH. Kasihnya Abu Bakr kepada Rasulillah.
Lihat kepada diri sendiri. Bagaimana kasih aku pada kekasih ALLAH itu? Mengatasikah kasihku kepada manusia dan dunia? Atau... Kasihku kepada Rasulillah adalah palsu?
Kalau benar kasih, dimana buktinya?
Kalau benar sayang, bagaimana saksinya?
Kalau betul cintakan Rasulillah, sambunglah perjuangannya.
Sambunglah perjuangannya.
Berakhlaklah seperti Baginda.
Turutilah jejak langkah Baginda.
Kan kata sayang Nabi? ^_^
Kalau sayangkan manusia, kita mahu bersamanya. Kalau sayangkan Nabi, berusahalah untuk bersama Baginda di hari akhirat kelak. Insya Allah, boleh. ^_^
Ya ALLAH, baru sedikit sirah yang berjaya aku titip. Tapi sudah terlalu banyak ibrah yang Kau mahu aku renung. Cuma sedikit dari kalanganku yang suka berfikir.
Hebat sungguh Rasulillah. ^_^
Semakin mendalami kisah dan sirah baginda, semakin bertambah cinta dan kasih buat Baginda. ^_^
Mari banyakkan SELAWAT. ^_^
No comments:
Post a Comment