Bagai tidak percaya, hari ini saya membeli buku karangan Fatimah Syarha dan suaminya yang bertajuk Cinta High Class.
Meskipun saya kerap berpendapat,bercerita kisah baitul muslim, dan kerap juga dirujuk dalam soal baitul muslim, tapi yang sebenarnya saya malu dan segan bila berdiskusi tentangnya secara peribadi. Manakan tidak,memiliki buku tentang cinta karangan Pahrol Juoi yang pernah tersohor di zaman saya sekolah pun saya malu. Saya pun pelik. Setiap kali hendak membeli buku, hati terdetik untuk membeli buku karangan Ust Hasrizal, berkenaan Aku Terima Nikahnya. Hingga tiga siri diterbitkan. Jujur,satu pun tidak pernah saya baca. Gara gara egokah?
Ya,saya malu. Malu pada siapa? Malu pada Ibu Ayah dan keluarga. Kalau ditanya, apa yang mahu saya jawab?
Saya malu pada kawan-kawan. Saya tak mahu digelar daie, hanyut dalam buku yang membicarakan cinta tapi gersang dengan buku yang mensucikan fikrah.
Yang paling malu, pada diri sendiri. Hakikatnya,kita tahu sejauh mana potensi diri sendiri.
Yang paling penting,malu pada Allah. Soal feqah dan syariat belum puas dihadam,sudah mula berjinak dengan buku cinta. Mengulang Quran pun liat,beranipula khusyuk menadah kitab cinta.
Bukan cinta itu tidak utama. Tapi masih ada yang penting dan perlu disegerakan. Itu prinsip saya.
Sehinggalah family gathering di JB baru-baru ini, setiap adik-beradik dikehendaki mengupdate berkenaan diri masing-masing dan perancangan akan datang.
Semua orang dengan cerita dan perancangan yang tesendiri.
Kak Elly dengan persediaan nak sambut baby baru.
Abang Ki nak pergi haji.
Abang Taufiq nak sambung kontrak di Miri.
Kakak tengah nak beli rumah di JB.
Adik sedang cari pusat tahfiz yang lebih baek untuk sambung belajar.
Saya? Bila tiba giliran saya,saya tidak ada update mahupun perancangan yang jelas.
Seronok sangat gelakkan orang,bila tiba time diri sendiri kena bentang,baru terhegeh-hegeh.
Perancangan saya, saya katakan mahu habiskan degree dengan jayanya. Di samping itu, menjadi muslimat haraki yang bekerja untuk Islam.
Itu saje ke? Soal abang. Saya angguk,konfiden.
Kemudian semua orang diam, kakak ipar bersuara, "Perancangan nak tambah ahli keluarga baru dalam family kite macamana?"
Saya yang sedang memegang anak saudara tersenyum. Sambil angkat bahu,tanda tiada jawapan.
Saya bertanya semula, "Ready ke nak terima adik ipar?" dalam nada yang langsung tak serius.
"Bukan nak adik ipar.. Tapi awak tu,ready dah ke nak jadi bini orang? Orang tanya persediaan. Ilmu rumah tangga. Ilmu pengurusan kewangan. Ilmu mendidik anak. Macamana?" kata kakak.
Aku senyum panjang,sungguh, aku tidak pernah fokus sejauh itu. Fokusku lebih membumi,saya kira.
"Startlah cari ilmu rumah tangga. Asyik main saja. Sudah besar panjang kena cari ilmu banyak-banyak. Tu ha,memasak tu kasi terror. Ni orang suruh memasak, dia sibuk bercakap banyak." tambah kakak.
Serangan bertalu-talu, saya tempis dengan perisai senyuman kaku.
Akhirnya Abang bersuara,
"Risau betul budak ni sorang. Hidupnya meleret.. Bila agaknya nak serius dengan hidup? Boleh dah tu nak start serius dengan hidup awak."
Akhirnya saya tewas. Benarlah saya kurang serius. Masih seronok hidup sebagai remaja, belum totally bersedia menjadi dewasa yang sebenarnya. Kalau dinilai di aspek matang, saya boleh mengaku,saya matang.
Tapi bila keluarga sendiri mengatakan saya kurang serius merancang kehidupan, saya terpaksa bersetuju.
Sementelah, itulah tujuan gathering family dibuat. Masing-masing lihat prestasi sendiri. Muhasabah yang banyak saya perolehi. Kami berkongsi cerita,masalah dan suka duka.
Tips memujuk isteri merajuk pun kami kongsi bersama. Saya yang menjuarai, sebab saya yang paling banyak modal mengusik abang kakak beserta ipar.
Alhamdulillah, nikmat beroleh keluarga yang bahagia. Syukur atas hadiah yang tiada ternilai harganya di dunia.
Usai Maghrib, kami berhimpun lagi di sofa empuk. Kami buka buku Indahnya Hidup Bersyariat. Setiap orang syarahkan satu bahagian. Macam-macam huraian dan diskusi yang menarik dari adik-beradik.
Abang selalu mengingatkan, "Dapat bertemu keluarga,berbincang masalah memang ada tempat disisi Allah. Tapi kalo kita sekeluarga bertemu, bercerita tentang taqarrub ilallah,itu lebih bernilai disisiNya."
Syukur. Syukur, alhamdulillah. Nikmat ini takkan saya persiakan. Cinta saya pada keluarga yang penuh sakinah ini adalah CINTA HIGH CLASS. Tiada pada yang selaen keluarga.
Cinta high class ini juga yang mahu saya bina dalam keluarga saya kelak. Keluarga yang akan saya bina bersama pemilik cinta saya selepas Allah, Rasul, Perjuangan dan keluarga. Hoh,nombor empat di tempat giliran tapi nombor satu semuanya di hati.
Bermotivasikan saranan keluarga agar saya lebih serius,saya akhirnya membeli buku cinta high class karangan sepasang suami isteri itu. Separuh perjalanan saya melayari bahtera buku itu, ya, dalam sauhnya dilabuh, dalam lagi cita saya untuk membina sebuah keluarga yang sempurna. Ternyata, tidak sempurna sebuah keluarga tanpa cinta. Dan semurni-murni cinta adalah cinta kpd Allah. Cinta kpd Allah itulah yang akan mengikat cinta sesama makhluk. Saya cukup percaya.
Sewaktu membeli buku itu,saya masih malu. Atau lebih tepat,segan. Lantas saya berazam,disamping menghabiskan buku cinta yang mengulit damai di hati, saya juga mahu atau tidak mahu,mesti ganas merobek buku haraki sebagai cabaran buat minda. Canggung rasanya kalau hati ini kerap di buai ayat manis berkait cinta,sedang ummat hari ini perlukan pelita untuk menerangi kegelapan yang membuatkan ramai yang alpa.
Sayalah pelita itu. Bukan orang laen. Saya mahu jadi pelita buat ummat. Lantas,saya tidak berhak mementingkan diri sendiri. Dan saya juga sentiasa berharap, yang akan bersama saya melayari bahtera rumah tangga kelak, si dia juga pelita ummat. Berhabis-habisan berkorban diri untuk ummat. Menjadi pelita yang menerangi kala gelap. Dan di waktu terang, si dia jadi bintang. Yang paling bersinar,diantara yang bersinar.
Besar harapan ini. Tapi saya masih belum serius. Teguran family untuk lebih serius saya kira tepat pada masanya. Sudah tiba saatnya,saya serius tentang hidup.
Mencari ilmu itu adalah kewajiban. Letaklah aulawiyyatmu dalam mencari ilmu. Jangan menagih ilmu yang engkau mahu. Tapi tagihlah ilmu yang engkau perlu.
Siapa tidak suka diulit kisah manis dalam bercinta. Aku juga manusia biasa. Tapi jiwa harus kuat dan bertenaga. Zaman muda hanya seketika. Banyak medan yang perlu kita teroka. Jangan hanya leka membaca manisnya syurga cinta. Tapi lihatlah ummatmu yang sedang menderita. Menderita kerana gelapnya dunia tanpa pelita. Pelita itu adalah kita,remaja. Yang akan bangunkan semula tamadun manusia beriman. Itulah kita, pelita buat ummat.
Buat bakal menjadi pelita aku, semoga kau terus kuat bersungguh-sungguh,bekerja untuk ummat. Kelak, Islam menang, dan engkau adalah salah satu sumbu yang memenangkan Islam.
Kelak,bolehku ceritakan pada putera puteri kita,
"Sayang,abi mu seorang pejuang ummat. Siang malamnya bekerja untuk Islam. Peluh keringatnya untuk perjuangan. Gigih usahanya mencapai kemenangan. Sayang, abimu memang pemuda yang merindui syurga!"
Akhirnya,saya beroleh konklusi indah. Seharian saya berfikir, bagaimana mahu serius? Tapi tetap tidak saya temui jawapan. Nampaknya,saya perlu lebih jelas fokus pada masa hadapan.
Bukan fokus mencari si dia yang menjadi pelita buat ummat. Tapi fokus saya menjadi pendamping istimewa buat pelita ummat. Kelak,hadirnya pelita ummat itu, viar sinarnya lebih terang dari bintang apabila bersama saya. Bukan gersang dek kemilau indahnya dunia. Duhai pelita ummat,beriku sedikit masa untuk terus bersiap. Datangnya engkau nanti, aku rai dengan kelengkapan individu muslim yang lengkap. Moga keluarga yang dirindukan syurga mampu kita bina dengan penuh berkat,insya Allah.
Bekerjalah sungguh-sungguh,wahai pelita ummat!
No comments:
Post a Comment