♥♥♥ Follow me ♥♥♥

Sunday, July 21, 2013

Daie : Dia penzina!


xxxxxx

Mus'ab berpuas hati dengan balutan buku yang berwarna biru laut itu. Berkali-kali dia membelek buku yang kemas dibalut di bilik tadi. Lantas dia mengambil sekeping kertas, menulis nama bakal pemilik buku tersebut dan sekaligus menulis namanya sebagai pemberi.

DI tepi tangga, Sumayyah sedang menunggu. Dengan menundukkan pandangan, Mus'ab menghulur bungkusan kecil yang berbalut cantik itu kepada Sumayyah. Sumayyah menyambutnya dengan tangan kanan. Sambil menghadiahkan senyuman. Walaupun senyuman itu tidak dilihat oleh Mus'ab.

Wafirah yang kebetulan lalu di birai koridor ternampak kelibat mereka yang sedang bertukar tangan mengambil hadiah yang berbalut indah itu. Wafirah mengangguk dan terus berlalu dari tempat kejadian.

Di dalam bilik mesyuarat, Mus'ab mengetuai perbincangan kem jati diri yang bakal dijalankan minggu hadapan. Sebagai pemimpin berjiwa amiin, Mus'ab memang terkenal seorang yang sangat efektif dan kreatif mengetuai apa-apa sahaja program dakwah yang dijalankan.

Nama Mus'ab meniti di bibir sekalian muslimat. Siapa yang tidak jatuh cinta dengan kesolehan seorang lelaki yang berjiwa daie seperti Mus'ab. Wafirah tidak senang dengan keadaan tersebut.

"Heh, korang ni dok puji-puji Mus'ab, korang tak tahu apa perangai Mus'ab sebenarnya." Wafirah galak membuka cerita.

"Maksud Fira apa?" soal Jawahir.

"Ja, Fira pernah nampak Mus'ab bagi hadiah kat Sumayyah. Tersengih-sengih Sumayyah dapat hadiah dari Mus'ab." jelas Wafirah.

Lima orang muslimat yang berada di situ terkejut. Semua mata tertumpu ke arah Wafirah.

"Enti biar betul Fira. Ana tak percaya Mus'ab macam tu. Besar fitnah ni Fira.." kata Dahlia, pembantu setia Mus'ab.

Wafirah tidak berpuas hati. Terus diulang ceritanya melihat adegan kasih sayang antara Mus'ab dan Sumayyah. Malah ditokok tambahnya sedikit demi sedikit supaya ceritanya lebih menarik.

"Lepas Mus'ab bagi tu, Sumayyah sengih-sengih dan ucap terima kasih kat Mus'ab. Mus'ab pun balas senyum Sumayyah. Aduh, menyampah ana tengok perangai Mus'ab yang sebenarnya. True color Mus'ab tu dah ternampak jelas dah depan mata ana." cerita Wafirah, lantang.

"Kalau betul apa yang macam Fira cakap, kita kena tegur Mus'ab dan Sumayyah. Mereka bawa fitnah pada dakwah dan perjuangan kita. Ini tak boleh dibiarkan." Jawahir lebih rasional.

Cerita Mus'ab dan Sumayyah terus tersebar tanpa sempadan. Rasa hormat mereka terhadap Mus'ab kian pudar dengan tersebarnya kisah cinta Mus'ab dan Sumayyah. Mus'ab mula terasa sesuatu yang tidak kena apabila banyak arahannya yang tidak diendahkan oleh ahli jawatankuasa yang lain. Mus'ab mula rasa tidak sedap hati dan cuba untuk mencari asbab.

Mus'ab terus dibenci. Sumayyah pula dipulau tanpa khabar cerita. Kisah mereka jadi perbualan di segenap tempat dan setiap masa. Seolah-olah silibus usrah yang perlu dihabiskan.


Dalam satu mesyuarat, Wafirah ditaklifkan untuk menyampaikan tazkirah sebelum bermula sesi mesyuarat. Wafirah menggunakan ruang dan peluang tersebut untuk menghentam Mus'ab.

"Fitnah yang terbesar dalam dakwah adalah fitnah lelaki dan wanita. Kalau lelaki tersebut tidak mampu menjaga diri dari fitnah wanita, dia tak layak nak jadi pemimpin. Kata-kata dan arahannya tak layak ditaati. Sebab dia seorang pendosa. yang melakukan maksiat dengan mendekati zina." tazkirah Wafirah mendapat perhatian ramai ahli jawatankuasa. Lantang Wafirah bersuara dan sengaja hujung matanya mengerling Mus'ab yang tenang di kerusi hadapan.

XXXX

Itulah situasi yang kerap kali berlaku. Kita terlalu cepat menghukum dan terlalu cepat meletakkan persepsi sendiri pada sesuatu yang kita tidak tahu. 

Kita mengaku kita daie, tapi kita sering cepat melatah bila berhadapan dengan pelbagai situasi. 

Kita bersikap skeptikal. Kita penghukum.

Apa kita lupa bagaimana kisah Rasulullah apabila seorang lelaki datang kepadanya dan mengaku bahawa dia berzina? Bagaimana Rasulullah berusaha untuk menafikannya dan tidak mahu menjatuhkan hukuman sehingga lelaki tersebut mengaku sebanyak empat kali.

Ada seorang lelaki, yang sudah masuk Islam, datang kepada Nabi Shallallahu’alaihi Wasallam mengakui dirinya berbuat zina. Nabi berpaling darinya hingga lelaki tersebut mengaku sampai 4 kali. Kemudian beliau bertanya: ‘Apakah engkau gila?’. Ia menjawab: ‘Tidak’. Kemudian beliau bertanya lagi: ‘Apakah engkau pernah menikah?’. Ia menjawab: ‘Ya’. Kemudian beliau memerintah agar lelaki tersebut dirajam di lapangan. Ketika batu dilemparkan kepadanya, ia pun lari. Ia dikejar dan terus dirajam hingga mati. Kemudian Nabi Shallallahu’alaihi Wasallam mengatakan hal yang baik tentangnya. Kemudian menshalatinya” (HR. Bukhari no. 6820)

Rasulullah adalah contoh daie yang paling agung. Sikap pemaaf dan sangka baik yang baginda tunjukkan adalah qudwah yang perlu kita contohi sebagai seorang daie.

Bersangka baiklah pada mad'u dan orang sekeliling. Jangan terlalu cepat kita menghukum. Kita seronok menghukum sehingga kita terlupa untuk BERDAKWAH.

Kalau benar kita DAIE, dekatilah mereka. Tanyalah dulu apa urusan mereka. Selidiki dahulu tujuan mereka. Jangan terlalu cepat melatah, wahai daie. ;)

Berapa ramai orang yang lari dari ISLAM kerana kesilapan para DAIE itu sendiri?

Bermuhasabahlah.

Kadang-kadang, kerana sikap kita yang jumud dan tidak selari dengan apa yang ISLAM ajar, membuatkan orang jadi benci pada ISLAM itu sendiri. Sedang kita mengaku kita daie. Kitalah pendakwah paling agung! Kita penyampai risalah suci.

Wahai para pendakwah sekalian, jangan kerana kita, orang menjauh dari ISLAM.
Jangan kerana kita, ISLAM dipandang serong dan diburukkan.
Sentiasalah perbaharui ILMU dan NIAT sebagai pendakwah.
Jangan semborono melakukan dakwah tanpa ILMU yang berterusan di cari dan digali.

Mintalah petunjuk ALLAH dan pandulah hati dengan WAHYU ALLAH. Agar tanggungjawab sebagai daie bukan kita jalankan sewenangnya. Tapi, tanggungjawab sebagai daie itu kita tunaikan penuh hemah dan tepat.

Saya sudah terlalu sering bertemu dengan daie yang suka menghukum. Malah kadang-kadang diri sendiri juga termasuk dalam kalangan tersebut.

Saya mula sedar, tugas daie adalah MENYAMPAIKAN KEBENARAN. Bukan menghukum dan menyalah tafsir. Kemudian hidup dengan dilemma dan penuh umpat keji pada peribadi yang tidak berdosa.

Kita suka salah tafsir. Kita rasa kita manusia paling sempurna. Sebab tu kita suka hukum orang.

Subhanallah.

Mari kita ambil iktibar dari kisah ini. Kita jadikan diri kita daie yang benar-benar daie. Daie ilallah!

^^

Wahai sekalian sahabat, maafkan saya jika saya pernah tersalah hukum. Maafkan saya jika hati ini sering tersalah tafsir. Sedang kita sepatutnya diajar untuk bertanya dan menyelidiki sesuatu sebelum menghukumnya.

Maafkan aku, dunia. Kerana aku menjadi daie yang skeptikal. Mengaku menyeru kepada ALLAH, tapi boleh jadi aku sebenarnya membuat manusia semakin jauh dengan ALLAH. Dan aku sebenarnya meletakkan diri sendiri JAUH dari ALLAH!


Apa yang kita lihat belum tentu seperti apa yang terlihat.
Apa yang kita dengar belum tentu seperti apa yang didengar.
Apa yang kita rasa belum tentu benar dan tepat fatwanya.

bertanyalah!
Siasat dan selidiklah.
Itu yang sebaeknya.

Allahu Akram! ;)
 


:: "Allahumma faqqihna fiddin, wa 'allimna takwil, wahdina ilas sawa'is sabiil" ::


:: Ya Allah, kurniakanlah kami kefahaman yang mendalam tentang ilmu agama, dan ajarkanlah kepada kami ilmu yang boleh memahami sesuatu yang tersirat, dan tunjukkanlah kepada kami jalan yang sebenar2nya. :) ::

2 comments:

Amatullah said...

Allahu Allah.
terkesan :')

husnataqwa said...

;)

semoga bermanfaat.

About Me

My photo
a very normal and 'serba kekurangan' person. sedang mencari dan menuntut ilmu Allah. Masih banyak kekurangan yang tidak perlu dicari, akan terzahir dengan sendiri.