♥♥♥ Follow me ♥♥♥

Thursday, August 01, 2013

Ramadhan mahu pergi. ^^

Puasa bulan Ramadhan terlalu pantas berlalu. Rasanya masih segar kenangan berbuka di mahallah UIA seorang diri dengan penuh ala kadar. Kenangan bersahur dengan megi dan biskut cicah milo. Semuanya kenangan yang mendewasakan diri. Bila teringat, rasa nak senyum panjang-panjang. Sebab dengan kenangan seperti itulah kita lebih menghargai hidup kita yang penuh warna-warni ini. Alhamdulillah. ^^

Penghujung Ramadhan ini suasananya lebih meriah. Di setiap ceruk, orang ramai berduyun-duyun termasuk masjid. Alhamdulillah. Zaman sekarang, orang ramai dah ada kesedaran yang tinggi untuk mengimarahkan masjid. Kalau tahun lepas, waktu beriktikaf di masjid, hanya ada empat lima orang. Tapi tahun ini, subhanallah.. Alhamdulillah ramai. Hampir 20 orang yang beriktikaf. Suka hati sangat tengok. Yang lagi seronok, ada geng yang sebaya. Tapi yang bezanya, dia sudah berkahwin di usia muda. Seronok dengar dia bercerita kisahnya yang menghidupkan Ramadhan dengan suami yang tercinta. Katanya ini Ramadhan pertama bersama suami. Mahu memaknakan sebaik mungkin sebelum kehadiran insan ketiga. Gembira dengar orang yang sedang seronok bercinta bercerita. ^^

Syahdu benar rasa hati bila mengenangkan Ramadhan yang bakal berlalu pergi. Saya kira, Ramadhan kali ini yang paling bermakna buat saya. Terlalu banyak 'perubahan' yang saya buat. Perubahan tersebut, biar ia jadi rahsia. Tapi tidak ada kata lain yang lebih layak melainkan ucapan hamdalah atas rahmat ALLAH yang memberi peluang saya untuk banyak mengubah diri kearah yang lebih baek. Benarlah, ujian dalam kehidupan yang menyapa diri  kita akan lebih mendekatkan kita kepada ALLAH. Jadi, jangan rasa takut dan benci dengan ujian. Sebaliknya carilah hikmah di sebalik ujian yang menimpa kita. Hikmahnya pasti satu, ALLAH mahu kita terus menerus mengadu dan mendekat denganNYA. Ya, itulah hikmah yang paling besar. Subhanallah. ;)

Saya tidak sabar untuk pulang ke UIA dengan jiwa yang baru. Saya rasa begitu bersemangat nak pergi UIA. Kelakar tak? Err, tapi rasa semangat tu tetap tak mampu menghilangkan rasa seronok berada di rumah bersama ibu tercinta. ;)

Malam ini, saya dan Ibu moreh bersama di KFC. Sempena meraikan Jumaat terakhir di bulan Ramadhan. Juga meraikan perubahan positif saya yang menggembirakan hati Ibu. Alhamdulillah, Ibu memang orang yang supportive. Banyak bagi sokongan dan begitu memahami. Syukur kepada ALLAH atas semua nikmatNya yang melimpah-ruah. ^^

Yang mendorong saya menulis malam ini adalah rasa syahdu dan sedih akan pemergian Ramadhan. Sungguh saya merasakan kehadiran Ramadhan kali ini bergitu bererti buat saya. Moga ia juga begitu buat teman-teman sekalian. Saya merasa begitu aman dan bahagia setiap kali bangun pagi untuk memulakan hari di bulan Ramadhan. Malah, rasa bahagia itu saban hari bertambah riang. Semuanya dengan berkat bulan mulia, Ramadhan Al Mubarak. Alhamdulillah.

Tidak banyak yang mampu saya kongsi. Sekadar berkongsi rasa sedih dan rasa suramnya hari melepaskan Ramadhan pergi. Selama Ramadhan masih bersisa beberapa hari, saya berjanji untuk memaknakannya penuh harmoni. Kelak, andai ini Ramadhan terakhir buat saya, ia boleh menyumbang saham untuk saya menapak ke pintu syurga.

Alhamdulillah, tahun ini juga berjaya khatam dua kali Al-Quran pada 22 Ramadhan. Ibu kata, sempat lagi tu nak khatam lagi sekali. Tapi saya mengambil keputusan untuk mengulang bacaan Al-Quran atau lebih tepat iadah. Satu perkara yang tidak boleh saya lupa, saya adalah hamilatul Quran. By hook or by crook, kena pastikan Quran melekat di hati, melekat di minda dan cair di mulut. Itulah harapan dan cita-cita saya yang sering saya ulang. Tapi sayang, melaksanakannya cukup susah. Ia benar benar perlu pada mujahadah yang tinggi. Semoga nusrah ALLAH bersama kita insya ALLAH. ^^

Saya memohon doa dari anda semua buat saya yang dhaif. Moga kekal dengan momentum untuk berubah dan terus berubah menjadi lebih baik disisi ALLAH.

Antara doa lain yang saya tidak pernah tidak sebut dalam solat, adalah untuk mendapat kasih ALLAH, cinta ALLAH dan rahmat ALLAH. Kerana saya yakin, kasih sayang ALLAH boleh membawa kebahagian di dunia dan akhirat. Allahumma Amiin.

Oh ya, tak lupa juga doa ini.

"Allahumma zawwijni zaujan soliha"

Ya Allah, kahwinkanlah aku dengan suami soleh.

Kerana saya cukup memahami bahawa kehidupan rumah tangga bersama seorang suami soleh adalah syurga dunia yang menjadi jambatan menuju syurga akhirat. Semoga doa kita sentiasa dimakbulkan ALLAH. Jika tidak didunia, di akhirat kelak pasti. ;)

Ok, jangan lupa baca Al-Mulk sebelum tidur. Jadikan amalan setiap hari, insya ALLAH, kita akan lebih mudah dan gagah untuk bangun qiam. Tapi sebelum tidur tu kena seksiap minta dengan ALLAH untuk beri kita iman yang kuat untuk menepis godaan tidur dan rehat. Allahumma amiiin. ;)





:: "Allahumma faqqihna fiddin, wa 'allimna takwil, wahdina ilas sawa'is sabiil" ::


:: Ya Allah, kurniakanlah kami kefahaman yang mendalam tentang ilmu agama, dan ajarkanlah kepada kami ilmu yang boleh memahami sesuatu yang tersirat, dan tunjukkanlah kepada kami jalan yang sebenar2nya. :) ::

No comments:

About Me

My photo
a very normal and 'serba kekurangan' person. sedang mencari dan menuntut ilmu Allah. Masih banyak kekurangan yang tidak perlu dicari, akan terzahir dengan sendiri.