♥♥♥ Follow me ♥♥♥

Sunday, December 01, 2013

Menjadi surirumah selepas berhempas pulas sebagai pelajar degree?

Makan malam tadi seperti biasa, Bunga Mas cafe menjadi pilihan kami.
Nasi putih dan tom yam ayam menjadi rutin menu pilihan hati.
Topik di meja makan kebiasaannya pelbagai.
Kebiasaannya berkait kehidupan di bumi UIA.
Dan kebiasannya juga melakar impian masing-masing.

Saya memulakan topik isu kes rogol kanak-kanak berumur 11 dan 6 tahun.
Sungguh, saya tidak boleh berhenti berfikir tentangnya.
Hati saya begitu risau dengan dunia hari ini.
Terlalu zalim suasana hari ini yang mencorak pemikiran suci kanak-kanak tersebut.

Berumur 11 tahun, logiknya kanak-kanak tersebut tidak boleh dipersalahkan.
Tetapi yang perlu bermuhasabah adalah orang sekeliling.
Suasana apa yang kita sediakan untuk mendidik mereka sehingga mereka 'mampu' melakukan aktiviti di luar moral sebegitu?

Saya sangat kecewa.
Kecewa dengan sistem pendidikan di Malaysia.
Kecewa dengan suasana media hiburan di Malaysia.
Ya, Malaysia. Umumnya.

"Aku rasa cuak sangat. Sampai fikir nak jadi surirumah je. Serius."

Jawapan yang sudah dijangkakan,
"Belajar tinggi-tinggi nak jadi suri rumah?"

Saya tahu sahabat tidak bermaksud demikian. Sahabat saya mungkin menyoal bagi pihak orang sekeliling. ;)

Apa salahnya menjadi surirumah. Dalam keadaan Malaysia hari ini, saya merasakan mendidik anak itu lebih penting. Suasana di Malaysia hari ni tidak lagi seperti dulu. Suasana hari ini tidak lagi suasana yang SELAMAT seperti sewaktu zaman saya membesar.

Sudah tiba masanya kita semua menyeru kaum wanita untuk lebih serius mendidik anak. Saya yakin, proses mentarbiah anak-anak sejak dari dalam kandungan lagi sangat penting. Justeru, seorang ibu memainkan peranan yang sangat signifikan.

Saya terfikir, sekiranya seorang ibu, sejak dari dalam kandungan mendidik anaknya dengan kalam Al-Quran, kemudian diasuh pula dengan sifat mahmudah apabila dilahirkan. Ditambah pula membesar dalam suasana solehah, mungkinkah anak saya kelak tega bersifat seperti binatang? Meragut mahkota kesucian orang lain sedang umurnya masih terlalu budak?


Biarlah saya tinggalkan persoalan itu tidak berjawab. Sungguh, kita tidak boleh meramal masa depan. Tapi berusaha sebaik mungkin untuk mendidik anak-anak kelak adalah impian yang cukup murni bagi saya.

Apakah bermaksud saya memilih menjadi wanita yang tidak berkerjaya?

Tidak bekerja tidak semestinya tidak berkerjaya.

Tidak keterlaluan jika saya katakan, surirumah itu juga adalah kerjaya. Malah kerjaya jauh lebih istimewa. Gajinya jauh lebih lumayan. Mana tidaknya, bayangkan saja suasana rumah yang tenang dan damai mengikut acuan Al-Quran. Dengan anak-anak yang dibentuk berpandukan wahyu. Sudah tentu hati seorang suami sangat tenang. Bukankah itu pahala yang tiada tandingan? Kelak, anak-anak tersebut menjadi daie dan penyeru kearah kebaikan. Sehingga mati, amal jariah dan doa anak solehah berterusan. Apakah itu gaji yang belum cukup lumayan?

Tepuklah dada. Soal pada iman. Apalagi yang mahu dicari selain dari keredhaan Tuhan?

Sahabat bertanya, "Kalau kawen dengan orang kaya, bolehlah nak jadi surirumah. Kalau tak?"

Saya juga terdiam dengan soalannya. Bukan saya tidak tahu kos hidup hari ini sangat tinggi. Sedang menyara diri sendiri pun sudah rasa SESAK, apalagi untuk menanggung sebuah keluarga.

Jawapan saya, "Kalaupun bekerja, saya akan memilih kerjaya yang paling kurang kesibukannya, dan paling banyak masa bersama anak-anak."

Itu impian saya. Saya terlalu tersentak dengan berita di dada akhbar hari ini. Saya tidak mampu membayangkan bagaimana anak saya kelak mahu membesar dalam suasana seburuk ini.

Saya mahu menjadi orang yang mengajarnya tentang agama. Memperkenalkannya kepada Allah. Dan mendidik hatinya dengan sifat mahmudah. Saya yakin, sesiapapun bakal suami saya tidak akan mempertikaikan impian saya. Sebab anak yang soleh adalah kehendak semua orang. Ya, semua orang yang waras! ;)

Saya mungkin terlalu emosi saat menukilkan post ini.

Sahabat bertanya, "So, tak jadi la ni gi Australia?"

Siapa kata?

Menuntut ilmu bukan sebab untuk bekerja. Ya, menuntut ilmu adalah syarat untuk bekerja. Tapi menuntut ilmu tidak semestinya mahu bekerja. Ilmu itu sangat penting.

Terlalu lucukah sekiranya saya mempunyai master dalam bidang sains kesihatan tetapi memegang title sebagai surirumah?

Ya, mungkin lucu. ;)

Saya mohon Allah tunjukkan jalan yang terbaik. Beri pekerjaan yang paling sesuai untuk saya merealisasikan impian saya. Sokongan bakal suami juga sangat penting.

Suami mana yang tidak mahu melihat anaknya membesar mengikut acuan Al-Quran? Biar tidak hensem, asal cantik akhlak dan peribadinya. Suami mana yang tidak mahu?

Matlamat perkahwinan itu bukan untuk kita sama-sama mengumpul harta, kemudian menjadi kaya raya. Tetapi matlamat sebenar sebuah perkahwinan adalah membina keluarga yang sakinah, mawaddah warahmah yang dikasihi Tuhan. Tidak bermaksud kekayaan itu tidak perlu. Tidak bermaksud mencari rezeki itu bukan keperluan. Perlu. Perlu untuk kaya. Tapi ia bukan matlamat. Kena faham tu. ;)

Buat bakal anak-anakku, semoga kalian lahir kelak dalam suasana yang harmoni, yang aku mampu mencorakkan kalian berjiwa murni. Yang suasananya indah agar aku mampu membentuk kalian dengan acuan sunnah. Yang sekelilingnya harmoni, agar aku mampu membimbingmu dengan penuh kasih cinta.

Semoga Allah merahmati kita semua. ;)
:: "Allahumma faqqihna fiddin, wa 'allimna takwil, wahdina ilas sawa'is sabiil" ::


:: Ya Allah, kurniakanlah kami kefahaman yang mendalam tentang ilmu agama, dan ajarkanlah kepada kami ilmu yang boleh memahami sesuatu yang tersirat, dan tunjukkanlah kepada kami jalan yang sebenar2nya. :) ::

3 comments:

Anonymous said...

kak husna bila nak kawin ni..

cepatlah kecewakan mereka yg menanti haha

konfem bertuah bakal suami tu. ehemm

husnataqwa said...

;)

Tak dapat nak jawab soalan tu. Hehe

sara said...

ni tandanya ade orang tak lame lagi mau bagi kad wangi.. yes yes!!

About Me

My photo
a very normal and 'serba kekurangan' person. sedang mencari dan menuntut ilmu Allah. Masih banyak kekurangan yang tidak perlu dicari, akan terzahir dengan sendiri.